Thailand dan China jalin kerjasama bina projek HSR

Bernama
Oktober 28, 2020 05:55 MYT
Prayuth berkata, kerjasama itu akan memperkukuhkan lagi hubungan Thailand-China dan mencerminkan komitmen dalam membangun infrastruktur. - Gambar fail AP
BANGKOK: Thailand dan China memeterai perjanjian bernilai THB50.63 bilion (RM6.72 bilion) bagi pembinaan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) antara Bangkok dan Nakhon Ratchasima di timur laut negara itu.
Pembinaan landasan sejauh 253 kilometer (km) tersebut merupakan fasa pertama projek HSR Bangkok-Nong Khai.
Majlis menandatangani perjanjian Kontrak 2.3 (Bangkok-Nong Khai) antara State Railaway of Thailand (SRT), China Railway International Company dan China Railway Design Corporation berlangsung di Rumah Kerajaan di sini pada Rabu dengan disaksikan oleh Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha.
Kontrak tersebut meliputi pemerolehan trek, gerabak tren, sistem elektrik dan mekanikal (E&M0), latihan petugas, kerja operasi dan penyelenggaran serta pemindahan teknologi.
Kereta api bekelajuan tinggi dari Bangkok ke Nokhon Ratchasima akan mempunyai enam stesen iaitu Bangkok (Bang Sue), Don Muang, Ayutthaya, Saraburi, Pak Chong dan Nakhon Ratchasima.
Projek HSR dari Bangkok ke wilayah Nong Khai di bahagian utara Thailand adalah sebahagian daripada rancangan China untuk membina jaringan rangkaian di seluruh Asia Tenggara yang akhirnya akan menghubungkan Kunming di barat daya China dengan Singapura.
Menurut jurucakap kerajaan Thailand, Anucha Burapachaisri, Perdana Menteri menyifatkan projek tersebut akan meningkatkan daya saing nasional dan memperkukuhkan pembangunan serantau khususnya bandar raya besar di sepanjang laluan kereta api tersebut.
Beliau berkata Perdana Menteri mengatakan bahawa kerjasama itu akan memperkukuhkan lagi hubungan Thailand-China dan mencerminkan komitmen dalam membangun infrastruktur demi menggalakkan kemakmuran ekonomi, jaringan pengangkutan serta hubungan antara rakyat.
"Projek ini juga akan memberi peluang untuk berkongsi pengetahuan. Thailand berhasrat menggunakan pengetahuan teknologi demi kepentingan terbaik negara dan rakyatnya serta rantau ini.
"Projek ini akan meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan antara dua negara serta hubungan wilayah dengan memikat hati masyarakat untuk tahun-tahun akan datang," kata Anucha.
-- BERNAMA
#HSR #Thailand #China #landasan #kereta api #perjanjian #Kereta Api Berkelajuan Tinggi #Bangkok #stesen #Singapura #Kunming #Asia Tenggara #tren #trek #sistem #pemindahan teknologi #pengangkutan
;