Thailand cadang mansuh saringan COVID-19 mulai Mei

Bernama
April 8, 2022 05:30 MYT
Pengembara yang telah menerima vaksin tidak lagi perlu menjalani saringan RT-PCT dan menempah hotel yang ditetapkan pihak berkuasa. - Foto fail/BERNAMA
BANGKOK: Thailand bercadang membatalkan ujian saringan RT-PCR yang diwajibkan ke atas ketibaan antarabangsa, bermula Mei, dalam usaha negara ini untuk memulihkan industri pelancongan.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata di bawah cadangan itu, pengembara yang telah menerima vaksin COVID-19 tidak lagi perlu menjalani saringan RT-PCT dan menempah hotel yang ditetapkan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, katanya pelancong perlu melakukan ujian antigen kendiri di lapangan terbang.
Beliau berkata CCSA "pada dasarnya bersetuju" dengan langkah itu namun bergantung kepada kelulusan.
"CCSA akan menyemak cadangan kelonggaran selepas cuti Songkran minggu depan," katanya selepas taklimat harian CCSA di sini pada Khamis.
Taweesin berkata CCSA turut bersetuju dengan cadangan untuk mengurangkan perlindungan insurans kesihatan serta mengurangkan jumlah dokumen yang diperlukan semasa mendaftar untuk Pas Thailand.
Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata mulai Mei juga kerajaan akan melonggarkan lagi sekatan perjalanan bagi ketibaan pelancong yang menggunakan laluan darat dan udara.
-- BERNAMA
#Thailand #pelancongan #vaksin #COVID-19
;