Thailand berterima kasih kepada Malaysia atas peranannya dalam rundingan damai selatan Thailand
Bernama
Mei 21, 2022 19:17 MYT
Mei 21, 2022 19:17 MYT
BANGKOK: Dengan kemajuan ketara yang dicapai sejak akhir-akhir ini, Thailand mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas peranannya sebagai fasilitator kepada rundingan damai dalam menamatkan konflik di selatan Thailand sejak berpuluh dekad.
Timbalan Perdana Menterinya Prawit Wongsuwan menyampaikan perkara itu kepada bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor, ketika sesi mesyuarat di Bangkok pada Jumaat.
Abdul Rahim telah bertindak sebagai fasilitator dalam rundingan itu.
Dalam satu kenyataan, Panel Dialog Keamanan bagi Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PEDP) memaklumkan Prawit turut menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada Abdul Rahim susulan peranan pentingnya dalam membawa ke hadapan rundingan damai itu.
"Rundingan (antara kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional - BRN) telah menyaksikan kemajuan ketara serta mencapai satu titik perubahan penting yang membawa harapan dalam menamatkan keganasan di wilayah sempadan selatan Thailand," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Abdul Rahim telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Prawit pada Jumaat. Turut hadir Jeneral Wanlop Rugsanaoh yang mengetuai PEDP.
Pertemuan terbaharu antara kerajaan Thailand dan BRN, kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, telah menyaksikan kemajuan yang ketara apabila kedua-dua pihak bersetuju mengenai "Inisiatif Ramadan Damai" yang berlangsung dari 3 April hingga 14 Mei.
Tempoh itu bertepatan dengan awal Ramadan hingga hari ke-10 Aidilfitri bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk keamanan.
Sebelum ini, media melaporkan hanya satu insiden serangan bom berlaku pada 15 April, di mana seorang orang awam terbunuh dan tiga pegawai polis cedera di daerah Sai Buri, Pattani.
Sementara itu, Prawit mengulangi bahawa kerajaan Thailand komited untuk mencari penyelesaian aman dan berkekalan bagi menamatkan konflik yang berpanjangan itu menerusi perbincangan dan rundingan dengan semua pihak berkepentingan.
Abdul Rahim turut memuji kerajaan memenuhi komitmennya untuk menyelesaikan konflik di selatan Thailand.
"Kejayaan Inisiatif Ramadan Damai membuktikan kerajaan Thailand kekal teguh untuk menjamin keamanan berpanjangan di wilayah selatan," katanya.
Rundingan antara kerajaan Thailand dan BRN memberi harapan baharu dalam menamatkan keganasan di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla - wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Keganasan tanpa henti di selatan Thailand tercetus sejak 2004 di empat wilayah iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla, meragut 7,000 nyawa setakat ini.
-- BERNAMA