Thailand beri lanjutan visa automatik kedua kepada warga asing hingga 31 Julai

Bernama
April 21, 2020 05:03 MYT
Warga asing yang visa tamat tempoh sejak 26 Mac diberi lanjutan automatik hingga 31 Julai. - AP Newsroom
Thailand pada Selasa meluluskan lanjutan visa automatik buat kali kedua kepada warga asing yang terkandas di negara itu ekoran sekatan perjalanan dan pembatalan penerbangan berikutan pandemik COVID-19.
Jurucakap kerajaan Narumon Pinyosinwat berkata warga asing yang visanya telah tamat tempoh sejak 26 Mac akan diberi lanjutan automatik hingga 31 Julai.
"Sebelum ini, kerajaan telah memberi lanjutan visa automatik sehingga 30 April. Bagaimanapun, dengan situasi di negara lain yang masih belum reda, ramai yang akan terkandas di negara ini.
"Mereka akan berkerumun di pusat imigresen seluruh negara untuk memperbaharui visa mereka. Ini boleh mendedahkan risiko penularan COVID-19 di negara ini," katanya dalam kenyataan.
Pada 8 April, Thailand telah memberikan lanjutan visa automatik sehingga 30 April kepada warga asing yang terkandas di negara itu ekoran sekatan perjalanan dan pembatalan penerbangan kerana pandemik COVID-19.
Thailand mengisytiharkan darurat pada 26 Mac hingga 30 April.
Bagi membendung penularan COVID-19, Thailand menutup sementara semua sempadan dan pintu masuk ke negara itu kepada warga asing kecuali diplomat dan pemegang permit kerja.
Pada 15 April, Thailand melanjutkan larangan itu dan turut termasuk semua penumpang penerbangan antarabangsa dari 18 hingga 30 April dalam usaha memutuskan rantaian pandemik COVID-19.
Semalam, Thailand melaporkan 19 kes baharu COVID-19 dan seorang meninggal dunia, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif 2,811 dengan 48 kematian.
-- BERNAMA
#Imigresen #koronavirus #Narumon Pinyosinwat #Thailand #Visa #warga asing
;