Thailand berdepan kemungkinan banjir besar

Bernama
September 30, 2021 22:08 MYT
Banjir yang dicetuskan ribut tropika Dianmu melanda 31 wilayah dan menjejaskan lebih 227,000 isi rumah di Thailand, menurut pihak berkuasa. - Foto AP
BANGKOK: Banjir yang dicetuskan ribut tropika Dianmu melanda 31 wilayah dan menjejaskan lebih 227,000 isi rumah di Thailand, menurut pihak berkuasa.
Dalam satu kenyataan, Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi Thailand memaklumkan hujan lebat melanda 6,355 kampung di 190 daerah di utara, timur laut dan tengah negara ini.
Banjir menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh maut manakala seorang dilaporkan hilang di Phetchabun.
"Hingga hari ini, 18 provinsi masih digenangi air sementara keadaan di 13 provinsi lain bertambah baik," menurut kenyataan itu.
Banjir masih belum surut di wilayah Chaiyaphum, Sukhothai, Phetchabun, Lop Buri, Khon Kaen, Nakhon Ratchasima, Ayutthaya dan Chai Nat.
Sementara itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) telah mengeluarkan amaran baharu mengenai kemungkinan banjir di kawasan dataran rendah di sepanjang Sungai Chao Phraya.
Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang meminta penduduk di 11 komuniti di tujuh daerah di sepanjang Sungai Chao Phraya untuk bersiap sedia kemungkinan banjir.
Beliau berkata memandangkan hujan lebat diramalkan, pihak berkuasa melepaskan air dari Empangan Chao Phraya dan Empangan Pasak Jolasid yang terletak di utara Bangkok.
Beliau berkata, paras air Sungai Chao Phraya diramalkan akan terus meningkat dalam beberapa hari lagi.
Benteng menggunakan guni pasir dibina di kawasan berisiko manakala penduduk di kawasan rendah dinasihatkan untuk menyimpan barangan dan dokumen penting di tempat yang selamat.
AFP melaporkan memetik pakar hidrologi Seree Suparathit dari Universiti Rangsit banjir kemungkinan akan turut melanda Bangkok antara 6-10 Okt, dengan ribut diramal membadai dijangka memburukkan lagi keadaan.
Thailand pernah mengalami banjir terburuk pada 2011 yang mengorbankan lebih 800 orang dan menyebabkan kerosakan lebih 1.5 trilion baht.
Pakar dan pihak berkuasa memberi jaminan Thailand tidak akan melalui peristiwa yang sama, lapor Bangkok Post.
Menteri Dalam Negeri Anupong Paojinda berkata beberapa kawasan takungan air telah dibina dengan pengurusan air yang sistematik untuk mengatasi keadaan dan menyimpan air banjir untuk kegunaan ketika musim kemarau.
-- BERNAMA
#banjir thailand #ribut tropika Dianmu #Thailand #banjir besar
;