Thailand bawa pulang rakyatnya dari Sudan

Bernama
April 25, 2023 20:24 MYT
Mangsa yang dipindahkan telah selamat tiba di bandar Port Sudan pada Selasa dan akan menaiki kapal yang disediakan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk menuju ke Jeddah. - Gambar fail/Courtesy of Maxar Technologies/Handout via Reuters
BANGKOK: Thailand melancarkan operasi untuk membawa keluar rakyatnya dari Sudan bermula pada Isnin dan mereka dijangka tiba di tanah air pada Khamis.
Dalam satu kenyataan, Timbalan Jurucakap Kerajaan Ratchada Thanadirek berkata seramai 212 warga Thailand dan tiga pasangan warga asing telah mendaftar untuk penghantaran balik ke negara asal.
"Pada petang 24 April (Isnin), Kedutaan Diraja Thailand di Kaherah dengan kerjasama Konsulat Thailand di Khartoum telah memindahkan warga Thailand di Sudan dengan bas ke tempat selamat di luar ibu negara untuk penghantaran balik ke negara asal.
"Kementerian Luar turut berhubung dengan negara jiran - Arab Saudi dan Mesir - untuk mendapatkan kebenaran pesawat Tentera Udara Diraja Thailand melalui ruang udara negara-negara berkenaan.
"Pesawat itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang pada 27 April (Khamis) kira-kira 8 malam (waktu tempatan)," katanya.
Ratchada berkata mangsa yang dipindahkan telah selamat tiba di bandar Port Sudan pada Selasa dan akan menaiki kapal yang disediakan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk menuju ke Jeddah.
Mereka kemudian akan menaiki pesawat Tentera Udara yang dijadualkan berlepas ke Thailand pada malam Selasa.
"Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan juga telah membuat rancangan untuk membantu pelajar Islam Thailand pulang ke tanah air," katanya.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Kanchana Patarachoke berkata kementerian sedang berhubung dengan lima lagi rakyat Thailand yang tinggal di luar Khartoum yang telah menyatakan hasrat untuk meninggalkan Sudan.
"Kementerian Luar, Kedutaan Diraja Thailand di Kaherah dan di Riyadh serta Konsulat Jeneral Diraja Thailand di Jeddah telah bekerja keras untuk memastikan rakyat Thailand di Sudan yang ingin pulang boleh berbuat demikian dalam keadaan selamat dan teratur.
"Sehubungan itu, Kementerian Luar merakamkan penghargaan ikhlas kepada negara-negara di rantau itu, khususnya Mesir, Arab Saudi, United Emeriah Arab Bersatu (UAE) yang telah memberikan sokongan penuh mereka kepada usaha pemindahan," katanya.
-- BERNAMA
#UAE #Thailand #sokongan penuh #Sudan
;