Thailand, Bank Dunia kukuh kerjasama dalam transformasi air, EEC dan digital
Bernama
Oktober 5, 2023 21:21 MYT
Oktober 5, 2023 21:21 MYT
BANGKOK: Thailand dan Bank Dunia akan memperkukuh kerjasama dalam pengurusan sumber air, Koridor Ekonomi Timur (EEC), dan transformasi digital.
Timbalan Perdana Menteri Phumtham Wechayachai berkata Thailand komited untuk mengembangkan kerjasama dengan institusi kewangan antarabangsa itu supaya ia memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
"Kami akan teruskan kerjasama, terutamanya dalam pengurusan sumber air, EEC, dan transformasi digital, sehingga kami melihat keputusan konkrit dengan cepat," katanya.
Terdahulu, Phumtham bertemu Pengurus Negara Bank Dunia untuk Thailand, Fabrizio Zarcone dan delegasinya hari ini untuk menggalakkan persefahaman dan mewujudkan peluang baharu bagi kerjasama.
Mereka juga berbincang dan bertukar-tukar kaedah untuk bekerjasama membangunkan modal insan dan daya saing negara, untuk faedah pekerja Thai.
Phumtham berkata kerajaan dan Bank Dunia akan bekerjasama untuk meningkatkan pendidikan, supaya generasi muda dapat memenuhi permintaan masa depan dan tenaga kerja global.
"Kami berharap dapat bekerjasama dan mendengar nasihat daripada pakar teknikal daripada Bank Dunia untuk membantu membangunkan persekitaran kawal selia yang kondusif," katanya.
Phumtham berkata kerajaan sedang menuju ke arah digital dengan mewujudkan satu sistem sebagai asas pembangunan negara.
"Kerajaan juga berhasrat untuk menyediakan persekitaran yang kondusif untuk ekonomi digital, di mana kami percaya masih banyak potensi untuk kerjasama selanjutnya.
"Kerajaan Thailand bersedia untuk bekerjasama dengan Bank Dunia dalam pelbagai bidang. Kami benar-benar percaya usaha kami boleh membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan, penciptaan pekerjaan, dan peningkatan taraf hidup di Thailand dan rantau ini," katanya.
Sementara itu, Zarcone berkata Bank Dunia di Thailand mempunyai kakitangan yang pakar dalam mengurangkan kadar kemiskinan dan pembangunan mampan dan bersedia membantu kerajaan Thailand mencapai matlamatnya dalam bidang ini.
"Ia adalah peluang yang baik dan titik permulaan untuk kedua-dua pihak berbincang bagi mengeratkan hubungan dan bergerak ke hadapan. Kami percaya masih banyak peluang dan potensi untuk membangunkan kerjasama," katanya.
-- BERNAMA