Thailand bakal sambut pelawat lengkap vaksin dari negara risiko rendah mulai Nov - Prayuth

Bernama
Oktober 11, 2021 23:19 MYT
Thailand bakal menyambut kedatangan pelawat antarabangsa yang lengkap vaksinasi COVID-19 dari negara berisiko rendah mulai 1 Nov dalam usaha untuk menghidupkan kembali industri pelancongan. - Gambar fail/REUTERS
BANGKOK: Thailand bakal menyambut kedatangan pelawat antarabangsa yang lengkap vaksinasi COVID-19 dari negara berisiko rendah mulai 1 Nov dalam usaha untuk menghidupkan kembali industri pelancongan.
Dalam ucapan yang disiarkan televisyen tempatan, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata pelawat dari sekurang-kurangnya 10 negara berisiko rendah termasuk United Kingdom (UK), Singapura, Jerman, China, dan Amerika Syarikat (AS) yang memasuki negara ini melalui perjalanan udara akan dikecualikan daripada kuarantin.
Beliau berkata lebih banyak negara akan dimasukkan ke dalam senarai itu menjelang Disember dan 1 Januari.
"Pelawat dari negara-negara yang tidak termasuk dalam senarai, tetap dialu-alukan tetapi perlu mematuhi syarat-syarat kuarantin dan lain-lain," katanya.
Beliau berkata pelawat dari negara berisiko rendah perlu menunjukkan mereka bebas COVID-19 menerusi ujian RT-PCR sebelum meninggalkan negara asal dan menjalani ujian lain di Thailand.
Prayuth juga telah mengarahkan Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) dan Kementerian Kesihatan Awam untuk segera mempertimbangkan rancangan pembukaan semula itu dalam minggu ini.
Sementara itu, katanya Thailand merancang untuk membenarkan semula minuman beralkohol di restoran serta operasi tempat hiburan dengan langkah pencegahan kesihatan yang sesuai mulai 1 Dis untuk merancakkan kembali sektor pelancongan dan riadah terutama pada tahun baharu.
Pada pertengahan Jun, Prayuth mengumumkan Thailand akan membuka semula sempadan negara kepada pengunjung yang lengkap divaksin dalam tempoh 120 hari atau pada pertengahan Oktober.
Beliau menggambarkan pembukaan semula untuk negara berisiko rendah 'langkah pertama yang kecil tetapi penting' bagi memulihkan punca pendapatan.
"Selama beberapa minggu lepas, beberapa negara sumber pelancongan terpenting di Thailand telah mula mengurangkan sekatan perjalanan terhadap warganegara mereka termasuk UK, Singapura dan Australia.
"Dengan perkembangan ini, kita mesti bertindak pantas tetapi tetap berhati-hati dan tidak melepaskan peluang menarik pelancong sempena musim cuti akhir tahun dan tahun baharu untuk menyokong jutaan orang yang bergantung kepada sektor pelancongan, hiburan serta sektor- sektor lain yang berkaitan sebagai sumber rezeki," katanya.
-- BERNAMA
#Thailand #pelawat antarabangsa #lengkap vaksinasi #COVID-19 #negara berisiko rendah #industri pelancongan #Prayuth Chan-o-cha
;