Thailand alu-alukan kerjasama serantau tangani masalah jerebu

Bernama
April 8, 2023 12:22 MYT
Prayut berkata, Thailand menyokong usaha bertukar maklumat dan pengalaman, serta tindakan undang-undang dari setiap negara untuk mengawal dan membendung sumber pencemaran. - Gambar fail
BANGKOK: Thailand pada Jumaat menggesa mewujudkan pendekatan yang membina dan konkrit dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan di rantau ini.
Gesaan itu dibuat ketika Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha mempengerusikan pertemuan tiga hala secara atas talian dengan Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone dan junta Myanmar Min Aung Hlaing, lapor Xinhua.
Pada mesyuarat itu, Prayut mencadangkan strategi untuk menangani isu pencemaran jerebu rentas sempadan secara berkesan dengan memanfaatkan mekanisme yang berkaitan di semua peringkat.
"Thailand menyokong usaha bertukar maklumat dan pengalaman, serta tindakan undang-undang dari setiap negara untuk mengawal dan membendung sumber pencemaran," kata Prayut.
Kualiti udara yang semakin teruk tahun ini adalah hasil daripada peningkatan jumlah titik panas akibat pembakaran terbuka dan keadaan cuaca kering, menurut Pinsak Suraswadi, ketua pengarah Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand.
Jumlah keseluruhan titik panas yang dikesan di Thailand, Myanmar dan Laos dalam tempoh tiga bulan pertama tahun inj meningkat 93 peratus berbanding tahun sebelumnya, kata Pinsak.
Kerajaan Thailand telah mengutamakan langkah pengurangan pencemaran udara sebagai agenda nasional.
Punca utama pencemaran dikaitkan dengan asap kenderaan, loji perindustrian, kebakaran hutan dan pembakaran pertanian.
-- BERNAMA
#jerebu #rentas sempadan #Prayut Chan-O-Cha #Thailand
;