Thailand alami kitaran baharu hujan lebat selepas pulih banjir
Bernama
Oktober 11, 2021 04:20 MYT
Oktober 11, 2021 04:20 MYT
BANGKOK: Situasi banjir akibat ribut tropika "Dianmu" semakin pulih, namun Thailand bersedia menghadapi kitaran baharu hujan lebat dalam beberapa hari akan datang yang mungkin mencetuskan limpahan air dan banjir kilat.
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand mengatakan hujan lebat sejak 23 September lepas telah menjejaskan 323,523 isi rumah di 33 wilayah dan menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan kematian.
"Sejumlah 95,233 isi rumah di 1,998 kampung di 16 wilayah masih terjejas kerana banjir," katanya dalam satu kenyataan.
Jabatan Metrologi Thailand mengatakan ribut tropika "Lionrock" membawa hujan lebat di timur laut Thailand.
"Penduduk di kawasan berisiko tinggi perlu berjaga-jaga dengan hujan lebat dan boleh menyebabkan limpahan air dan banjir kilat," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu ribut tropika "Lionrock" yang semakin lemah akan menyebabkan aliran tekanan yang rendah di bahagian hulu Laos pada pukul 7 pagi (waktu tempatan) hari ini dan ia bergerak ke hulu timur laut Thailand, membawa hujan lebat hingga yang sangat lebat.
Jabatan Metrologi meramalkan monsun barat daya yang kuat akan merentasi Laut Andaman, di Selatan dan Teluk Thailand dan membawa hujan lebat hingga sangat lebat yang mungkin berlaku di beberapa kawasan di wilayah Utara, Tengah, Timur dan Selatan (pantai barat).
"Ombak setinggi 2 hingga 3 meter di Laut Andaman dan hulu Teluk, mencecah sekitar 2 meter di hilir Teluk, dan melebihi 3 meter di kawasan hujan lebat. Semua kapal harus berhati-hati, dan kapal kecil baik tidak keluar ke laut, " katanya.
-- BERNAMA