Thailand akan nilai semula peralihan pascapandemik pada September
Bernama
Ogos 22, 2022 06:30 MYT
Ogos 22, 2022 06:30 MYT
BANGKOK: Pasukan petugas COVID-19 Thailand akan menilai semula peralihan pasca pandemik bulan depan sebelum memutuskan untuk menarik balik Dekri Darurat.
Pemangku jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Jumaat lalu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha belum membuat sebarang keputusan mengenai pembatalan Dekri Darurat.
"CCSA akan bermesyuarat untuk menilai semula peralihan pasca pandemik sebelum 1 Oktober untuk memastikan tiada kesan negatif dalam semua dimensi, dan bagi menyediakan pelan tindak balas sekiranya kesan seperti itu tidak dapat dielakkan.
"Mesyuarat (Jumaat lalu) membincangkan rangka kerja dasar, garis panduan dan garis masa untuk peralihan pasca-pandemik di bawah prinsip "untuk membolehkan orang ramai hidup dengan COVID-19 dengan selamat dan dapat menjalani kehidupan normal", dengan mengambil kira situasi semasa, risiko, dan langkah-langkah pencegahan," katanya.
Dekri Darurat yang pertama dikeluarkan pada Mac 2020 khusus untuk pihak berkuasa yang berkenaan menangani situasi COVID-19, dan mengawal penyebaran penyakit itu dengan ketat dan cekap. Dekri Darurat semasa akan tamat pada akhir September.
Bagaimanapun, lanjutan Dekri Darurat telah menyebabkan aktivis politik dan kumpulan yang membantah mendakwa dekri itu bertujuan untuk menghalang protes jalanan di negara itu kerana perhimpunan awam adalah diharamkan.
Media tempatan melaporkan bahawa undang-undang itu akan kekal sehingga sekurang-kurangnya November tahun ini, apabila Thailand menjadi tuan rumah mesyuarat APEC 2022.
Sementara itu, Anucha berkata respons Thailand terhadap pandemik COVID-19 telah diiktiraf di peringkat antarabangsa sehingga beberapa negara menyatakan minat untuk belajar daripada pengalaman Thailand.
"Ketika ini, lebih 90 peratus rakyat Thai telah dilindungi, dan lebih 90 peratus daripada mereka menerima suntikan vaksin ketiga. Jangkitan COVID-19 pada masa hadapan dijangkakan sama seperti influenza yang mungkin ditemui sepanjang tahun, dengan simptom ringan," katanya.
Dalam tempoh 24 jam terakhir, Thailand mencatatkan 1,531 kes COVID-19 baharu dan 28 kematian, menjadikan angka keseluruhan kes di negara itu mencecah 4.63 juta kes dan 32,055 kematian sejak Januari 2020.
-- BERNAMA