Thailand akan lancar dompet digital pada Mei 2024 bagi rangsang ekonomi
Bernama
November 10, 2023 22:18 MYT
November 10, 2023 22:18 MYT
BANGKOK: Bagi meningkatkan ekonomi negara seramai 50 juta rakyat Thailand akan menerima "dompet digital" bernilai 10,000 baht pada Mei tahun depan untuk membeli produk pengguna.
Perdana Menteri Srettha Thavisin berkata warga Thailand berumur 16 tahun ke atas dengan simpanan di bawah 500,000 baht dan berpendapatan kurang daripada 70,000 baht sebulan layak menerima geran kerajaan sebanyak 10,000 baht itu.
"Mereka yang layak mesti membuat pembayaran pertama melalui dompet digital dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaannya. Bantuan dijangka dibayar pada Mei tahun depan.
"Geran itu bukan bantuan awam untuk mereka yang berpendapatan rendah.
"Ia merupakan suntikan wang ke dalam ekonomi melalui perbelanjaan dalam usaha memupuk kerjasama antara rakyat dan kerajaan dalam memulihkan ekonomi dan pada masa yang sama mengekalkan disiplin fiskal kerajaan," katanya.
Srettha berkata nilai skim itu adalah kira-kira tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Kerajaan bercadang meminjam 500 bilion baht untuk membiayai inisiatif itu.
Peruntukan itu eksklusif untuk pembelian makanan, minuman dan barangan pengguna serta tidak boleh ditukar kepada wang tunai dan tidak boleh digunakan untuk produk dalam talian, perkhidmatan serta produk alkohol dan tembakau.
Kerajaan mahu memastikan dana itu digunakan untuk pembelian barangan keperluan penting yang dapat menyumbang secara langsung kepada usaha merangsang aktiviti ekonomi.
-- BERNAMA