Thailand: Ahli perniagaan Malaysia ditemui mati dalam kereta
Bernama
Jun 26, 2021 00:07 MYT
Jun 26, 2021 00:07 MYT
BANGKOK: Seorang ahli perniagaan dari Malaysia dijumpai mati dalam sebuah kereta di tepi jalan berhampiran sebuah kuil di Bang Phli di wilayah Samut Prakan.
Timbalan ketua penyiasat balai polis Bang Phli Pol, Kapten Pongnarin Nontanok berkata, mayat lelaki berusia 43 tahun itu dijumpai di tempat duduk pemandu dengan keadaan enjin masih hidup.
Katanya penduduk tempatan menghubungi polis pada Jumaat petang.
"Polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati dia sudah meninggal dunia.
"Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kes itu," katanya ketika dihubungi Bernama.
Tambah beliau, isteri lelaki itu membuat laporan di balai polis Bang Phli pada Jumaat pagi berhubung kehilangan suaminya.
Media tempatan melaporkan lelaki itu dipercayai sudah meninggal dunia sekurang-kurangnya tujuh atau lapan jam sebelum mayatnya ditemui.
Penduduk tempatan menghubungi polis selepas mendapati kereta itu berada di kawasan tempat letak kereta berhampiran kuil berkenaan sejak Khamis malam.