Thailand 2024: Peralihan politik, cabaran ekonomi dan diplomasi serantau
Bernama
Disember 21, 2024 14:00 MYT
Disember 21, 2024 14:00 MYT
BANGKOK: Tahun 2024 menyaksikan Thailand mengharungi era peralihan politik, cabaran ekonomi serta fokus baharu terhadap diplomasi serantau. Daripada menganjurkan acara penting ASEAN hingga menangani isu domestik yang mendesak, Kerajaan berusaha menyeimbangkan kepentingan nasional dengan keutamaan antarabangsa.
Tahun ini menandakan peristiwa politik penting dengan peralihan kepimpinan dalam Parti Pheu Thai selepas pembentukan kerajaan gabungan bersejarah pada akhir 2023.
Disokong oleh parti pemerintah, Paetongtarn Shinawatra, anak perempuan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dicalonkan untuk menggantikan Srettha Thavisin selepas penyingkirannya oleh Mahkamah Perlembagaan pada 14 Ogos, menjadikannya perdana menteri termuda Thailand pada usia 38 tahun.
Paetongtarn mewarisi landskap politik yang berpecah-belah dan cabaran besar untuk menyatukan negara.
Pentadbirannya memberi tumpuan kepada reformasi ekonomi, kebajikan sosial dan perpaduan nasional.
Inisiatif utama termasuk lanjutan bantuan tunai di bawah "Skim Dompet Digital" dan pelancaran program pembangunan luar bandar.
Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen sempena 90 hari pertama pemerintahannya, Paetongtarn memperkenalkan kempen bercita-cita tinggi bertajuk "Empowering Thais 2025: A Real Possibility." Beliau berjanji untuk memperkasa rakyat, menyebarkan kuasa dan membina negara yang berpaksikan maruah dan kemakmuran.
"Misi kami adalah untuk mencipta negara di mana setiap orang mempunyai peluang untuk berkembang dengan bermaruah.
"Bersama-sama, kita akan menjadikan 2025 tahun kemajuan dan harapan, meletakkan asas untuk dekad yang lebih cerah," katanya.
Ekonomi Thailand pada 2024 menunjukkan tanda-tanda bercampur-baur ketika negara pulih dari pandemik COVID-19.
Sektor pelancongan, yang menyumbang kira-kira 20 peratus daripada KDNK, pulih dengan kembalinya pelancong dari China dan pertumbuhan ekopelancongan.
Bagaimanapun, perdagangan global yang lembap dan inflasi yang tinggi menjejaskan eksport dan penggunaan domestik.
Hutang isi rumah mencapai rekod 90 peratus daripada KDNK, mendorong kerajaan memperkenalkan langkah penyusunan semula hutang dan menyokong perniagaan kecil.
Sebagai antara negara paling terdedah kepada iklim di Asia Tenggara, Thailand menghadapi bencana alam yang berulang.
Banjir besar pada September melanda wilayah utara dan timur laut, menyebabkan 52 kematian dan menjejaskan kira-kira 34,000 isi rumah.
Pada November, banjir di 11 wilayah selatan mengakibatkan ribuan kehilangan tempat tinggal dan kerugian ekonomi yang ketara, menekankan keperluan mendesak untuk daya tahan iklim.
Di pentas antarabangsa, Thailand memperkukuh peranannya sebagai pemain utama ASEAN.
Pada Oktober, ia menjadi tuan rumah perbincangan tidak rasmi mengenai krisis Myanmar, menghimpunkan negara anggota ASEAN dan negara jiran termasuk China dan India.
Meskipun pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) mengenai Myanmar kekal mencabar, usaha Thailand memudahkan dialog menonjolkan cita-cita diplomatiknya dalam menyelesaikan konflik serantau.
Selain itu, Thailand memperjuangkan integrasi ekonomi yang lebih mendalam melalui Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan memperkukuh hubungan dua hala dengan rakan utama seperti Jepun dan Korea Selatan.
Penganjuran mesyuarat berkaitan APEC memperkukuh komitmen Thailand dalam memajukan perdagangan digital dan pembangunan mampan.
Ketika 2024 hampir berakhir, Thailand berdepan cabaran kritikal dalam menavigasi landskap global yang semakin berpecah-belah.
Ketika 2024 melabuhkan tirainya, Thailand berdepan cabaran kritikal dalam mengemudi landskap global yang semakin berpecah-belah.
Ia perlu menangani kelemahan ekonomi, meningkatkan daya tahan iklim, dan memupuk pembaharuan demokrasi sambil memastikan kestabilan dan pertumbuhan.
Dengan kedudukan strategiknya dan pengaruh diplomatik yang semakin berkembang, Thailand bersedia memainkan peranan penting dalam ASEAN dan seterusnya.
-- BERNAMA