TGI Fridays failkan kebankrapan
Astro Awani
November 3, 2024 08:10 MYT
November 3, 2024 08:10 MYT
NEW YORK: Rangkaian restoran TGI Fridays di Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pada Sabtu bahawa ia telah memfailkan perlindungan kebankrapan.
Langkah itu diambil selepas berdepan cabaran kewangan yang berpanjangan serta kegagalan perjanjian dengan syarikat Hostmore dari United Kingdom (UK).
Dalam pemfailan di Mahkamah Kebankrapan daerah utara Texas, TGI Fridays menyenaraikan aset dan liabiliti dalam lingkungan AS$100 juta hingga AS$500 juta.
Dimiliki oleh Triartisan Capital Advisors, TGI Fridays menjadi destinasi makan popular sejak membuka bar pertama di Manhattan, New York, pada tahun 1965.
Syarikat itu, yang mengendalikan 39 restoran "Thank God It’s Friday!" di dalam negara, menyatakan ia meneruskan operasi di semua restoran korporatnya di AS sambil memperoleh komitmen pembiayaan untuk menyokong operasi tersebut.
Pengerusi Eksekutif TGI Fridays, memberitahu bahawa COVID-19 dan struktur modal syarikat adalah punca utama masalah kewangan mereka.
Penstrukturan semula ini, katanya, akan membolehkan restoran mereka yang masih beroperasi bergerak maju dengan infrastruktur korporat yang lebih efisien untuk mencapai potensi penuh.
TGI Fridays Franchisor, pemilik jenama dan harta intelek, memberi francais kepada 56 francais di 41 negara.