Texas: Tertuduh kes tembakan di El Paso dijatuhi 90 hukuman penjara seumur hidup

Bernama
Februari 9, 2023 19:12 MYT
Lelaki yang bertanggungjawab membunuh 23 orang dan mencederakan 22 lagi dalam satu kejadian tembakan rambang di sebuah pasar raya Walmart di El Paso, Texas, lebih tiga tahun lalu, mengaku bersalah atas semua pertuduhan terhadapnya. - Gambar fail/AP
EL PASO (Texas): Lelaki yang bertanggungjawab membunuh 23 orang dan mencederakan 22 lagi dalam satu kejadian tembakan rambang di sebuah pasar raya Walmart di El Paso, Texas, lebih tiga tahun lalu, mengaku bersalah atas semua pertuduhan terhadapnya, lapor UPI.
Menurut dokumen mahkamah, Patrick Crusius menerima 90 hukuman penjara seumur hidup, satu bagi setiap pertuduhan ke atas 90 pertuduhan.
Crusius mengaku bersalah ke atas 45 pertuduhan melanggar Akta Pencegahan Jenayah Kebencian Matthew Shepard dan James Byrd Jr.
Pada 2020, lelaki berusia 24 tahun itu pada awalnya mengaku tidak bersalah.
Kejadian berlaku pada 3 Ogos 2019. Dia datang ke pasar raya itu bersenjatakan senapang dan ratusan peluru.
Awal bulan ini, Jabatan Kehakiman memaklumkan ia tidak akan memohon hukuman mati dalam kes itu.
Crusius dikatakan memandu ratusan batu untuk melakukan jenayah itu, khususnya menyasarkan warga Latin.
Berasal dari pinggir bandar Dallas di Allen, Texas, Crusius dilaporkan turut menggunakan istilah pencerobohan Hispanik Texas.
Crusius turut merujuk dirinya sebagai nasionalis kulit putih dan pegawai mengesahkan jenayah itu bermotifkan perkauman.
-- BERNAMA
#kes tembakan #Texas #El Paso Walmart #Patrick Crusius
;