Texas tarik balik arahan pemakaian wajib pelitup muka
Astro Awani
Mac 2, 2021 05:55 MYT
Mac 2, 2021 05:55 MYT
HOUSTON: Texas, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan menarik balik arahan pemakaian pelitup muka mandatori di negeri itu yang dilaksanakan susulan jangkitan pandemik COVID-19.
Keputusan itu dipercayai bakal mencetuskan kritikan berikutan pelaksanaan arahan itu sudah dilaksanakan sejak lapan bulan lalu bersama sekatan lain.
Malah, tindakan Gabenor Greg Abbot itu dibimbangi terus meningkatkan kes jangkitan COVID-19 yang setakat ini merekodkan lebih 42,000 kematian di Texas.
Namun, menurut Abbot, orang ramai masih perlu mengikuti saranan lain yang telah dikuatkuasakan.
"Bagaimanapun, langkah menarik balik arahan mandatori itu tidak bermakna setiap orang perlu mengabaikan tanggungjawab masing-masing dan menjaga kepentingan ahli keluarga masing-masing, rakan dan komuniti," kata Abbot dalam satu sidang media.
Selain itu, Abbot turut mengumumkan semua jenis perniagaan di Texas dibenarkan dibuka semula bermula Rabu.
Keputusan itu dilihat bertentangan dengan kenyataan pakar kesihatan bahawa pandemik COVID-19 di AS masih lagi di tahap yang membimbangkan.
Bagaimanapun, Texas ketika ini merekodkan penurunan kes COVID-19 dan jumlah mereka yang dirawat di hospital mencatatkan angka yang masih rendah sejak Oktober.
#pelitup muka
#tarik balik
#Texas
#COVID-19
#pandemik
#Greg Abbot
#Amerika Syarikat
#arahan mandatori