Tesla diarah bayar RM14 juta pada bekas pekerja berkulit hitam
Astro Awani
April 3, 2023 07:00 MYT
April 3, 2023 07:00 MYT
SYARIKAT pengeluar kenderaan elektrik, Tesla diarah bayar AS$3.2 juta (RM14.14 juta) kepada seorang bekas pekerja berkulit hitam selepas didapati gagal menghalang kejadian serangan berbentuk perkauman di kilang pemasangan syarikat itu di California, Amerika Syarikat (AS).
Keputusan itu dicapai panel juri selepas perbicaraan selama seminggu.
Pada tahun 2017, Owen Diaz mengemukakan saman terhadap Tesla selepas mendakwa pengurus syarikat di kilang Fremont, California gagal bertindak atas beberapa kejadian serangan berbentuk perkauman terhadapnya.
Panel juri pada Isnin mendapati Diaz, yang bekerja sebagai operator lif di kilang tersebut, berhak menerima AS$175,000 (RM773,000) untuk gangguan emosi yang dihadapinya serta AS$3 juta (RM13 juta) sebagai ganti rugi.
Diaz mendakwa beberapa pekerja di kilang tersebut sering mengeluarkan kata-kata kesat selain menconteng karikatur berbentuk perkauman terhadapnya di kilang berkenaan.
Peguam Diaz, Bernard Alexander berkata, keputusan ini akan memberi amaran kepada Tesla serta syarikat besar lain yang gagal bertindak ke atas isu perkauman di premis perniagaan mereka.