Tesla akan berada di India secepat mungkin - Elon Musk

Bernama
Jun 21, 2023 05:50 MYT
Musk bertemu dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi, di New York pada Selasa.- Foto REUTERS
MOSCOW: Usahawan jutawan Amerika Syarikat, Elon Musk, berkata bahawa syarikat pembuatan kereta elektriknya, Tesla, akan berada di pasaran India "secepat mungkin" dan akan membuat "pelaburan yang signifikan" dalam ekonomi negara itu, lapor Sputnik.
Beliau berkata demikian pada Selasa selepas bertemu dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi, di New York.
"Saya yakin bahawa Tesla akan berada di India dan akan berbuat demikian secepat mungkin ... India menjanjikan lebih banyak peluang daripada mana-mana negara besar di dunia.
Beliau (Modi) benar-benar mengambil berat tentang India dan mendorong kami untuk membuat pelaburan besar di India, yang merupakan sesuatu yang kami ingin lakukan, dan kami hanya mencari masa yang tepat," kata Musk kepada wartawan selepas pertemuan itu.
Musk juga berkata bahawa beliau "menantikan untuk membawa Starlink ke India," dan beliau akan melawat negara itu pada tahun depan.
Modi dalam rangka lawatan ke Amerika Syarikat dari 20 hingga 23 Jun, termasuk bandar New York dan Washington, dan beliau akan bertemu dengan Presiden Joe Biden, Naib Presiden Kamala Harris, dan Setiausaha Negara Antony Blinken.
--BERNAMA-SPUTNIK
#Elon Musk #Tesla #India #Narendra Modi