Terusan Panama: Presiden tegas pertahan kedaulatan
Bernama
Februari 3, 2025 11:50 MYT
Februari 3, 2025 11:50 MYT
WASHINGTON: Presiden Panama Jose Raul Mulino menegaskan bahawa kedaulatan negaranya "tidak boleh dipersoalkan" ketika Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, mendesak agar Washington mengambil semula kawalan ke atas Terusan Panama.
Mulino membuat kenyataan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, di Panama City pada Ahad.
"Kedaulatan Panama tidak dipersoalkan dan saya menjelaskan secara terperinci apa yang dimaksudkan dengan Terusan di bawah kawalan Panama kepada kami semua. Saya bertanggungjawab untuk mempertahankannya, sebagaimana yang akan dilakukan mana-mana rakyat Panama lain dalam kedudukan saya," katanya kepada pemberita.
Menurut Mulino, pertemuan selama hampir sejam bersama diplomat AS itu berlangsung dalam suasana saling hormat dan mesra.
Mulino berkata Trump lebih memberi tumpuan kepada pelabuhan berbanding terusan itu sendiri.
"Presiden (Trump) mempunyai pandangannya mengenai kehadiran China, yang akan diperjelaskan dalam mesyuarat teknikal berkaitan Terusan," katanya, sambil menegaskan beliau menunggu audit Pejabat Ketua Audit Negara sebelum mengulas lanjut.
"Tidak dinafikan Terusan Panama dikendalikan oleh negara kita dan akan terus begitu.
"Tiada ancaman terhadap Perjanjian, kesahihannya dan lebih-lebih lagi penggunaan kekuatan tentera untuk merampas Terusan," katanya sambil memberi jaminan kepada rakyat Panama.
Sementara itu, Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan memaklumkan Rubio membangkitkan isu cabaran serantau dan global yang kritikal dalam pertemuan dengan Mulino.
Jurucakap Jabatan Negara, Tammy Bruce berkata Rubio memaklumkan bahawa Trump "membuat penentuan awal" bahawa kedudukan pengaruh dan kawalan Parti Komunis China ke atas kawasan sekitar Terusan Panama merupakan ancaman serta melanggar perjanjian berkaitan operasi terusan itu.
"Setiausaha Rubio menegaskan bahawa status quo ini tidak boleh diterima dan sekiranya tiada perubahan segera, AS akan mengambil langkah yang perlu untuk melindungi haknya di bawah perjanjian itu," katanya.
Trump berkata pada Jumaat bahawa Panama melanggar perjanjiannya dengan AS mengenai Terusan Panama dan mengisytiharkan bahawa AS akan mengambil alih kawalan terusan itu.
-- BERNAMA