AS terus beri tekanan ke atas junta Myanmar hentikan keganasan

Bernama
November 11, 2022 12:10 MYT
AS dan rakan kongsi lain akan terus mengambil langkah untuk meningkatkan tekanan ke atas rejim itu berikutan situasi di Myanmar yang semakin teruk. - Foto fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) akan terus memberi tekanan pada rejim Myanmar sehingga ia menghentikan keganasan terhadap rakyatnya, dan mengembalikan negara itu ke landasan demokrasi.
Penolong Setiausaha Negara AS bagi Biro Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik Daniel Kritenbrink berkata beliau yakin AS dan rakan kongsi lain akan terus mengambil langkah untuk meningkatkan tekanan ke atas rejim itu berikutan situasi di Myanmar yang semakin teruk.
"Apa yang berlaku di Myanmar sejak dua tahun lalu adalah satu persendaan mutlak. Rampasan kuasa yang dilakukan oleh junta, keganasan kejam dan ngeri yang dilakukan oleh junta terhadap rakyatnya sendiri tidak boleh diterima sama sekali.
"Apa yang AS mahu lakukan sejak rampasan kuasa, bersama-sama rakan kongsinya termasuk di ASEAN, kami telah cuba meningkatkan tekanan ke atas junta dalam pelbagai cara untuk cuba memaksanya menghentikan keganasan dan kembali kepada demokrasi," katanya dalam taklimat media Asia Tenggara menerusi telefon pada Khamis.
Kritenbrink juga mengulangi sokongan padu AS ke atas Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN yang bertujuan untuk memulakan proses damai di Myanmar.
"Kami menyokong usaha ASEAN dan lain-lain untuk menjadikan Konsensus Lima Perkara itu menjadi kenyataan," katanya.
Dirangka dan dipersetujui oleh pemimpin ASEAN dan ketua junta jeneral kanan Min Aung Hlaing pada April 2021, rancangan itu pada dasarnya menggesa keganasan segera dihentikan ke atas rakyat Myanmar serta melibatkan semua pihak yang terlibat dalam dialog yang membina untuk menyelesaikan krisis.
Pada Selasa, AS dan Kesatuan Eropah mengenakan sekatan baharu terhadap junta Myanmar yang ditujukan kepada pegawai, individu dan syarikat negara itu.
Perbendaharaan AS menyenaraihitamkan Sky Aviator Co. kerana menambah baik dan menyelenggara pesawat junta serta pengasas syarikat itu, Kyaw Min Oo, seorang ahli perniagaan Myanmar berusia 40 tahun dituduh membekalkan senjata dan pembelian senjata untuk tentera.
Dalam tindakan yang diselaraskan, EU juga mengenakan sekatan ke atas 19 individu, termasuk menteri, ketua hakim Mahkamah Agung, anggota angkatan tentera, tentera udara dan wakil perniagaan yang tidak dinamakan. Majlis Pentadbiran Negeri juga telah disenaraihitamkan.
-- BERNAMA
#junta Myanmar #hentikan keganasan #kembalikan demokrasi #Daniel Kritenbrink
;