Tertembak pesawat: Pengakuan Iran satu tindakan bijak - Pakar
Harits Asyraf Hasnan
Januari 11, 2020 16:28 MYT
Januari 11, 2020 16:28 MYT
Keputusan Iran membuat pengakuan atas kesilapan mereka yang secara tidak sengaja menembak jatuh pesawat penumpang Ukraine merupakan satu tindakan yang bijak.
Pensyarah Kanan, Akademi Ketamadunan Islam, Universiti Teknologi Malaysia UTM), Prof Madya Dr Kamaruzaman Yusoff berkata langkah tersebut sedikit sebanyak akan mengurangkan ketegangan.
“Pada pandangan saya, kenyataan yang dilakukan oleh Iran adalah merupakan sesuatu kebijaksanaan untuk menutup lebih banyak lagi kemungkinan-kemungkinan yang akan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dunia terhadap Iran pada masa ini.
“Kita tidak dapat nafikan masa yang diambil oleh Iran sepanjang tiga hari ini saya rasa secara umumnya jauh lebih singkat jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap kapal terbang penumpang Iran dalam Perang Teluk yang berlaku dalam tahun 1988.
“Pada ketika itu, tentera AS mengambil masa lebih daripada tiga minggu menafikan dan seterusnya terpaksa menerima selepas mendapat bukti yang lebih terang dan jelas menunjukkan bahawa mereka melakukan serangan terhadap kapal terbang penumpang Iran yang berlaku tahun 1988.
“Saya juga berpendapat, langkah yang dilakukan oleh Iran ini serba sedikit akan mengurangkan ketegangan. Kita harap supaya selepas ini, kedua-dua pihak iaitu AS dan juga Iran termasuk mereka yang mempunyai kepentingan di Asia Barat mengambil langkah yang lebih baik dan berhati-hati supaya tidak berlaku serangan terhadap kapal terbang penumpang seperti yang berlaku kepada kapal terbang Ukraine termasuk apa yang berlaku terhadap penerbangan MH17 serta yang pernah berlaku dalam tragedi-tragedi yang lain,” katanya ketika ditemubual Astro AWANI pada Sabtu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Presiden Iran, Hassan Rouhani pada Sabtu yang memohon maaf dan melahirkan rasa kesal beliau terhadap tragedi pesawat malang yang meragut 176 nyawa, pada Rabu lalu.
Ia selepas hasil siasatan awal oleh pihak tentera negara itu mendapati telah berlaku kecuaian manusia sehingga menyebabkan pesawat berkenaan ditembak jatuh oleh peluru berpandu negara itu.
#Amerika Iran
#Amerima Syarikat
#Iran
#pengakuan Iran tembak
#perang teluk
#tembak jatuh pesawat
#Ukraine