Tertelan AirPod semasa tidur
Agensi
Februari 6, 2021 21:18 MYT
Februari 6, 2021 21:18 MYT
MASSACHUSETTS: Seorang lelaki yang bangun tidur dalam keadaan sukar bernafas, terkejut apabila diberitahu puncanya; AirPod.
Brad Gauthier, 38, sedar ada yang tidak kena apabila dia kerap tersedak ketika minum pada pagi Selasa lalu.
Walaupun berasa tidak selesa sepanjang hari, Gauthier tidak mengesyaki apa-apa dan meneruskan kerja seharian seperti biasa.
Namun ketika dia tercari-cari salah satu AirPod miliknya, jenaka isterinya membuatkan dia semakin tidak sedap hati dan membuat keputusan ke hospital.
"Isteri membantu saya mencari AirPod berkenaan dan berjenaka, 'mungkin awak sudah tertelannya'," katanya seperti dipetik dalam portal Metro UK.
X-ray yang dijalankan kemudian membuktikan kata-kata isterinya bukan sekadar jenaka.
Gauthier bagaimanapun sangat beruntung kerana AirPod itu tidak berada dalam kedudukan yang menghalang laluan oksigen atau menyebabkan kerosakan organ serius.
Dia yang terpaksa menjalani pembedahan endoskopi untuk mengeluarkan AirPod berkenaan, percaya dia tertelan fon telinga itu semasa tidur.
"Saya memakai fon telinga kerana anak saya yang berusia enam bulan mudah terjaga. Entah bagaimana saya tertidur dengan fon itu.
"Tetapi bagaimana ia boleh masuk ke dalam mulut, saya sendiri tidak tahu," katanya.