Tersalah hukum mati suspek rogol, 27 pegawai dikenakan tindakan
AFP
Februari 1, 2016 12:54 MYT
Februari 1, 2016 12:54 MYT
Sejumlah 27 pegawai dari beberapa jabatan besar di China telah dikenakan tindakan kerana menyebabkan seorang remaja lelaki dihukum mati 20 tahun lalu, lapor agensi berita Xinhua pada Ahad.
Hugjiltu berusia 18 tahun pada 1996 ketika dia dijatuhi hukuman mati kerana dituduh dengan kesalahan merogol dan membunuh seorang wanita di dalam sebuah tandas kilang tekstil di Hohhot, wilayah Mongolia.
Pada 2014, Hugjiltu akhirnya 'dibebaskan' dari kesalahan itu selepas seorang lelaki lain, Zhao Zhihong, membuat pengakuan melakukan jenayah tersebut sekali gus menunjukkan kesilapan besar dalam dunia perundangan.
“Salah seorang daripada pegawai yang disenarai hitam atas pendakwaan salah ke atas remaja malang itu, Feng Zhiming, disyaki terlibat dengan salah laku kerja dan disoal siasat,” lapor pihak berkuasa.
Feng yang merupakan bekas Timbalan Ketua Biro Keselamatan Awam di Hohhot, bakal berdepan pendakwaan.
Sejumlah 26 orang lain yang terdiri daripada anggota polis dan pegawai mahkamah, telah dikenakan tindakan tatatertib termasuk amaran dan demerit.
Kes tersebut telah menyerlahkan kelemahan sistem perundangan Parti Komunis China yang sangat jarang membebaskan tertuduh. Pada 2013, 99.93 peratus defendan kes jenayah telah terus dijatuhi hukuman.
Penggunaan kekerasan untuk merekodkan pengakuan semakin banyak digunakan di seluruh negara dan defendan yang tidak dilindungi sering menjadi mangsa ketidakadilan.