Terpisah 30 tahun, pramugari sebak nampak guru kesayangan dalam pesawat
Agensi
Oktober 25, 2022 22:53 MYT
Oktober 25, 2022 22:53 MYT
OTTAWA: Pertemuan seorang pramugari dengan bekas guru selepas 30 tahun terpisah mengundang suasana hiba di dalam sebuah pesawat di Kanada.
Perkongsian menerusi Instagram Goodnews Movement semalam, memaparkan pramugari bernama Laura membuat pengumuman menyambut penumpang yang disifatkan begitu istimewa buatnya pada 5 Oktober lalu.
“Hari ini merupakan Hari Guru di Kanada (5 Oktober). Kita harus mengaku pasti ada guru kesayangan yang sentiasa berada dalam ingatan sepanjang hidup kita.
“Saya menjadi emosional sekarang kerana hari ini dapat berjumpa guru yang pernah mendidik saya pada tahun 1990, Ms O'Connell yang kini berada di dalam pesawat," ucap Laura memetik laporan Indian Express.
Kongsi Laura, Ms O'Connell merupakan guru kesayangan yang banyak berjasa sejak dari bangku sekolah rendah.
“"Dia guru kesayangan saya yang mana kali terakhir saya berjumpa pada tahun 1990. Wanita ini membuatkan saya jatuh cinta dengan karya Shakespeare, membuat saya bermain piano dan mahir dalam alat muzik ini. Malah saya juga boleh menulis esei kerana dia. Terima kasih, Ms. O'Connell. Saya sayang kamu," ujarnya.
Selesai membuat pengumuman istimewa itu, Laura berjalan menuju ke arah gurunya dan momen itu mendapat tepukan penumpang lain.
Sehingga kini, perkongsian berkenaan menerima tontonan lebih 1.5 juta kali, lebih 130,000 tanda suka serta dibanjiri komen positif.