Terminal baharu Lapangan Terbang Suvarnabhumi bakal menjadi hospital medan

Bernama
Julai 7, 2021 14:19 MYT
Thailand akan mengubah suai terminal satelit Lapangan Terbang Suvarnabhumi yang baharu siap, sebagai hospital medan. - Gambar fail/REUTERS
BANGKOK: Thailand akan mengubah suai terminal satelit Lapangan Terbang Suvarnabhumi yang baharu siap, sebagai hospital medan berikutan lonjakan mendadak kes COVID-19 di negara ini.
Kajian menunjukkan menjelang Ogos kes harian COVID-19 boleh mencecah 10,000 berikutan penularan varian Delta, yang dijangka menjadi varian paling dominan.
Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata hospital medan itu akan menempatkan sekurang-kurangnya 5,000 katil.
"Hospital medan itu dijangka dibuka bulan depan," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.
Hospital berkenaan akan dilengkapi kemudahan seperti unit rawatan rapi, bilik perubatan dan sokongan untuk pesakit dengan gejala ringan hingga sederhana.
Kompleks terminal baharu empat tingkat itu adalah sebahagian rancangan menaik taraf lapangan terbang, membabitkan kos berjumlah 62 bilion baht yang diluluskan pada 2011.
Sementara itu, Dr Apisamai memberi amaran bahawa kes harian COVID-19 boleh mencecah 10,000 kerana penularan varian Delta.
Beliau berkata kajian menunjukkan kadar kes jangkitan varian Delta di kebanyakan negara lain meningkat dua kali ganda setiap dua minggu.
"Thailand mungkin menyaksikan sehingga 10,000 kes harian baharu pada Ogos," katanya.
Sementara itu, CCSA mungkin mempertimbangkan cadangan Kementerian Kesihatan Awam untuk melaksanakan sekatan pergerakan di Bangkok dan wilayah berdekatan dalam usaha untuk membendung lonjakan mendadak kes COVID-19.
Ketua operasi CCSA Jeneral Natthapon Nakpanich berkata setakat ini, tidak ada cadangan rasmi mengenai perkara itu dikemukakan kepada pasukan petugas.
Natthapon selaku Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara menyatakan pasukan petugas mungkin menunggu selama 15 hari untuk menilai keadaan sebelum memutuskan pelaksanaannya.
"Kita harus mempertimbangkan semua faktor," katanya sambil menambah langkah itu juga dapat mengatasi masalah kekurangan katil hospital di seluruh negara.
CCSA mengelak melaksanakan sekatan pergerakan di Bangkok, pusat penularan terbaharu sebaliknya mengenakan sekatan lebih ketat termasuk menutup tapak pembinaan dan kem pekerja hingga akhir bulan ini, serta melarang makan di restoran untuk mengekang penularan kes di bandara raya itu dan dan lima wilayah berdekatan.
Kes COVID-19 di Thailand melepasi angka 300,000 dengan 6,519 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 301,172 setakat ini.
Pada masa sama, Thailand mencatatkan 54 lagi kematian menjadikan jumlah korban seramai 2,387.
-- BERNAMA
#Thailand #Lapangan Terbang Suvarnabhumi #Hospital Medan #COVID-19 #CCSA