Terminal 2 Changi digantung 18 bulan mulai 1 Mei depan

Bernama
April 6, 2020 22:29 MYT
Penggantungan operasi ini akan membolehkan kerja-kerja pengembangan semasa di T2 dipercepatkan mengikut jadual iaitu pada 2024. - Gambar fail
Operasi di Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Changi akan digantung selama 18 bulan mulai 1 Mei depan, menurut Changi Airport Group (CAG).
CAG berkata perincian mengenai perpindahan syarikat-syarikat penerbangan ke terminal lain akan diumumkan melalui laman web Lapangan Terbang Changi sebelum 1 Mei depan.
Penggantungan operasi ini akan membolehkan kerja-kerja pengembangan semasa di T2 dipercepatkan mengikut jadual iaitu pada 2024, tetapi ini mungkin akan ditambah selama satu tahun lagi.
"Dengan syarikat penerbangan, banyak menangguhkan penerbangan sebagai tindak balas terhadap permintaan yang semakin berkurang, usaha ini juga akan membantu lapangan terbang yang menjadi rakan kongsi kami mengharungi masa yang sukar," kata Naib Presiden Eksekutif Pengurusan Lapangan Terbang CAG, Tan Lye Teck dalam satu kenyataan.
"Walaupun skala operasi kami akan berkurangan dalam tempoh terdekat, Lapangan Terbang Changi tetap dibuka untuk melayani penerbangan kargo udara dan penumpang yang masih terus beroperasi.
"Kami mempunyai fleksibiliti dan bersedia meningkatkan operasi sebaik sahaja keadaan pulih," kata Tan lagi.
Sementara itu, memandangkan jumlah penerbangan yang sangat kecil di Terminal 4 (T4), operasi di terminal tersebut telah dikurangkan dengan hanya beberapa pintu masuk dibuka dan kedai-kedai dibenarkan untuk ditutup lebih awal.
Jika syarikat penerbangan yang masih beroperasi di T4 memilih untuk menggantung atau menyesuaikan jadual penerbangan mereka, CAG akan memberi pertimbangan bagi menghentikan operasi mereka di T4 untuk sementara waktu, tetapi boleh memulakan semula operasi mereka sebaik sahaja syarikat-syarikat penerbangan ini mengaktifkan balik jadual mereka.
Penyatuan ini akan membolehkan CAG dan lapangan terbang yang menjadi rakan kongsinya untuk menjimatkan kos operasi seperti utiliti dan pembersihan, tetapi juga dengan tujuan mengoptimumkan sumber-sumber di seluruh terminal agar menjadi lebih sesuai dengan permintaan perjalanan termasuk kekerapan penerbangan yang menyusut.
Dalam perkembangan berasingan, Kementerian Pengangkutan republik itu mengumumkan bahawa Levi Pembangunan Lapangan Terbang akan dikecualikan mulai 13 April 2020 hingga 31 Mac 2021.
Levi itu telah diperkenalkan pada 1 Julai 2018 untuk membiayai pengembangan lapangan terbang, termasuk Terminal 5 (T5) yang baharu serta infrastruktur yang berkaitan di Changi East.
Sekarang ini, penumpang yang memulakan perjalanan mereka dari Lapangan Terbang Changi perlu membayar kadar S$10.80, manakala penumpang yang memulakan perjalanan mereka di tempat lain dan membuat sambungan melalui Lapangan Terbang Changi perlu membayar kadar S$3.00.
Levi dibayar oleh penumpang yang berlepas dari atau bersambung melalui Lapangan Terbang Changi.
Ia akan dikecualikan untuk penumpang yang mana, tiket penerbangan mereka dikeluarkan antara tarikh perjalanan dalam tempoh yang sama.
-- BERNAMA
#Changi Airport #coronavirus #COVID-19 #koronavirus #operasi #penerbangan #Singapura #Terminal 2 T2 Lapangan Terbang Changi
;