Terlupa ubat Parkinson, lelaki terlepas tuduhan bunuh cucu dua bulan

Agensi
Mac 9, 2018 15:16 MYT
Gambar cucu Yonghou, berusia dua bulan yang ditikamnya ketika sedang lena tidur. - foto www.mynewshub.cc
Mahkamah Kesihatan Mental di Brisbane, Australia melepaskan seorang lelaki warga China dari tuduhan membunuh cucu dan mencederakan isteri dan anak perempuannya selepas didapati tidak siuman ketika kejadian.
Dalam kejadian pada 2016 itu Yonghou Cao, 54 tahun bersama isterinya, Huijuan sebelum itu melawat anak perempuan mereka, Yuanyuan Cao dan cucu mereka.
Suasana mesra bertukar tegang apabila tercetus satu pertengkaran apabila Huijian menampar Yonghou kerana tidak mengambil ubat preskripsi sakit Parkinsonnya selama dua bulan menyebabkan lelaki itu berang lalu memukul dan menendang isterinya itu.
Huijian yang berasa tidak puas hati lalu mengambil pisau berdekatan dan mengugut mencederakan lelaki itu. Tindakan Huijian memegang pisau itu dipandang Yonghou seolah-olah isteri dan anak perempuannya mahu membunuhnya.
Kerana panik, Yonghou merampas pisau tersebut lalu menikam isterinya di bahagian dada dan bahu. Yuanyuan turut ditikam berkali-kali, namun anak perempuannya itu sempat melarikan diri untuk meminta pertolongan.
Yonghou kemudiannya menuju ke sebuah kamar di mana cucunya sedang lena tidur dan terus menikam bayi yang baru saja berusia dua bulan itu. Dia turut menikam dirinya sendiri sejurus selepas itu.
Bayi itu meninggal dunia akibat tikaman itu, namun isteri dan anak tertuduh hanya cedera.
Dia kemudiannya didakwa membunuh namun kes tersebut telah digugurkan oleh Mahkamah Kesihatan Mental awal minggu lalu atas alasan tidak waras ketika kejadian.
Yonghou didapati menghidap schizophrenic dan telah menjalani rawatan psikiatrik selama lebih setahun. Dia menyatakan kesal atas perbuatannnya dan bayi tersebut tidak seharusnya mati.
“Bayi itu tidak bersalah, saya lakukan perkara buruk dan saya enggan bercakap mengenainya,’’ katanya kepada psikiatrik pada Ogos tahun lepas.
Memetik portal Mynewshub, Mahkamah Kesihatan Mental mendapati ketika serangan, Yonghou tidak boleh mengawal tindakannya sendiri dan dia dibebaskan selepas itu. Mahkamah turut membenarkan permohonan daripada Yuanyuan supaya Yonghou tidak dibenarkan berhubung dengannya lagi.
#2016 #bayi #Brisbane #China #keluarga #lelaki #mahkamah #mati #Sakit Mental #serangan
;