Terlastik dua gelang getah ke atas jalan di Singapura, lelaki ini didenda lebih RM900

Astro Awani
Mei 27, 2019 06:31 MYT
Lelaki itu dilihat sedang berjalan ke kenderaannya sambil melastik gelang getah itu satu per satu ke udara, yang kemudian jatuh ke atas jalan awam. - Foto Astro AWANI
Seorang lelaki telah didenda sebanyak S$300 (RM913) gara-gara melastik dua gelang getah ke atas jalan awam di republik itu.
Portal Channel News Asia melaporkan perkara itu seperti yang disahkan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) pada Isnin.
Gambar surat denda yang dikeluarkan NEA atas kesalahan itu disebarkan hujung minggu lalu di media sosial.
Menjawab soalan media, wakil agensi itu berkata insiden itu berlaku pada Khamis lalu dan lelaki berkenaan telah didenda kerana membuang sampah merata-rata.
Turut dilaporkan, lelaki itu memberi kerjasama yang baik sewaktu didatangi pegawai NEA.
Pegawai penguat kuasa NEA memberitahu, lelaki itu dilihat sedang berjalan ke kenderaannya sambil melastik gelang getah itu satu per satu ke udara, yang kemudian jatuh ke atas jalan awam.
Dalam satu insiden lain pada 16 Mei, dua lelaki didenda S$300 setiap seorang kerana meninggalkan tin minuman mereka di atas sebuah kotak di luar sebuah stesen MRT.
“Kami ingin mengingatkan orang awam bahawa membuat kekotoran sebarangan menjejaskan alam sekitar, dan amalan menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata adalah tanggungjawab sosial yang perlu dipatuhi,” ujar NEA.

Man fined S$300 after shooting two rubber bands that landed on public road https://t.co/4TGBo6Hg2N pic.twitter.com/ZPoJTiTleH

— CNA (@ChannelNewsAsia) May 27, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Aspek menjaga kebersihan amat dititikberatkan oleh pemerintah republik pulau itu, dan rakyatnya perlu patuh kepada peraturan seumpamanya jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.
#denda #lastik getah #media sosial #MRT #NEA #Singapura #undang-undang
;