Terlalu ramai orang Palestin dibunuh - Ki-moon
AFP
Julai 13, 2014 07:49 MYT
Julai 13, 2014 07:49 MYT
"Sudah terlalu ramai orang awam Palestin dibunuh," kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon.
Ki-moon turut mendesak Israel membatalkan serangan darat selain menyatakan kesan buruk jika ia dilaksanakan.
Mengulangi gesaan untuk gencatan senjata, Ki-moon merasakan tanggungjawabnya kepada rakyat Palestin terutama di Semenanjung Gaza yang sudah lama dinafikan hak terhadap kebebasan, katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan jurucakapnya, Stephane Dujarric.
"Situasi terkini di Gaza, dengan sekurang-kurangnya 172 rakyat Palestin terbunuh dan tiada langsung kecederaan di pihak Israel dilihat semakin teruk," kata Ki-moon yang melihat Israel tidak menghormati langsung saranan Majlis Keselamatan PBB untuk gencatan senjata.
Ki-moon turut mengulangi gesaannya supaya Hamas menghentikan serangan roket ke atas Israel.
Bagaimanapun, beliau melahirkan perasaan bimbangnya terhadap jumlah orang awam Palestin yang dibunuh sekali gus jika serangan darat dilakukan Israel, jumlah kematian penduduk di Semenanjung Gaza pasti meningkat.
"Ia adalah demi kepentingan kedua-dua belah pihak. Mereka perlu menghentikan segera apa juga langkah ke arah peperangan dan berbalas serangan sekali gus dapat menghalang risiko lebih besar dan lebih banyak kematian. Apa yang penting ia menjamin keamanan dan keselamatan serantau.
"Saya minta kedua-dua pihak berusaha ke arah itu sekarang," katanya.
Walaupun ada ura-ura untuk gencatan senjata, namun Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata tenteranya telah meningkatkan serangan terhadap Hamas.
Sementara itu di pihak Palestin, Presiden Mahmoud Abbas berkata, beliau akan meminta Ki-moon untuk meletakkan Palestin di bawah sistem perlindungan antarabangsa PBB sebagai usaha menangani keganasan di Gaza.