Terlalu obses berkiblatkan GPS, wanita dan kereta terjunam ke dalam tasik

Madiha Abdullah
Mei 16, 2016 14:45 MYT
Kereta Toyota Yaris yang dipandu tenggelam sebelum berjaya dikeluarkan pada pagi Jumaat. - Foto/FB Tobermory Press Inc
SEORANG wanita di Kanada menerima satu pengajaran berguna dalam hidupnya, iaitu jangan sewenang-wenangnya mempercayai apa yang diarahkan oleh aplikasi GPS.
Dalam satu kejadian pada Khamis minggu lalu, kereta wanita yang identitinya tidak didedahkan itu, dipercayai menjunam masuk ke dalam sebuah tasik di Ontario gara-gara mengikut arahan yang dipaparkan pada skrin GPS.
Insiden itu dikatakan berlaku dalam keadaan cuaca hujan dan berkabus.
Laporan portal The Toronto Sun menyebut, wanita berkenaan tidak dapat melihat dengan jelas melalui cermin keretanya, sebaliknya hanya berpandukan arahan yang dipaparkan oleh GPS.
Malah wanita itu mengakui tidak menyedari bagaimana dan bila keretanya 'terbang' dan kemudiannya jatuh ke dalam air.
Nasib wanita itu baik kerana kereta berkenaan terapung untuk beberapa minit, memberi masa untuknya menurunkan tingkap dan keluar dari kereta.
Kereta Toyota Yaris yang dipandunya itu tenggelam sebelum berjaya dikeluarkan pada pagi Jumaat.
Wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
#GPS #Kanada #kemalangan #Ontario
;