Terlalu awal untuk nilai keupayaan Jokowi bawa Rusia, Ukraine berbincang - Penganalisis
Rahimah Abdullah
Jun 27, 2022 17:55 MYT
Jun 27, 2022 17:55 MYT
KUALA LUMPUR : Masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi berkeupayaan membawa pemimpin negara bertelagah, Rusia dan Ukraine ke meja rundingan atau sebaliknya.
Penganalisis politik, Prof Ahmad Marthada Mohamad, bagaimanapun mengakui Kumpulan 20 atau G20 yang dipengerusikan Jokowi mempunyai pengaruh yang besar dalam memastikan ekonomi dunia tidak terkesan dengan krisis Rusia-Ukraine.
"Pembentukan G20 itu berdasarkan kepada pengaruh ekonomi dan sudah tentulah isu berkait ekonomi akan dibincangkan dengan panjang lebar dalam sidang G20 selepas ini. Dalam kerangka itulah Jokowi akan mainkan peranan untuk membawa negara yang terlibat krisis ini ke meja persidangan.
"Apakah beliau sebagai pengerusi G20 boleh bawa pembaharuan dalam mengetengahkan dua pihak itu ke meja persidangan? Bagi saya ia mungkin terlalu awal dan terlalu sukar untuk kita nyatakan bahawa Jokowi ada keupayaan untuk bawa kedua-dua pihak berbincang.
"Namun sebagai pihak gabungan negara, G20 mempunyai pengaruh dalam ekonomi dunia. Jadi G20 ada peranan besar dalam memastikan bahawa keadaan ekonomi dunia tidak akan dipengaruhi krisis Rusia-Ukraine, sebab kita tahu Ukraine dan Rusia adalah pengeluar gandum yang terbesar.
"Jadi sudah tentu pertikaian ini akan memberi kesan kepada kekurangan makanan," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.
Sebelum ini, Jokowi dilaporkan akan terbang ke Rusia untuk bertemu Presiden Vladimir Putin dengan membawa misi gencatan senjata dengan Ukraine.
Dalam pada itu, Ahmad Marthada juga melihat tindakan berpihak kepada sesebuah negara akan memburukkan lagi keadaan dalam krisis Rusia-Ukraine.
Dalam masa sama, katanya langkah sekatan import ke atas Rusia lebih banyak memberi impak negatif kepada negara yang menyokong.
"Sebagai contoh, Indonesia pada satu ketika, mereka cuba berpihak kepada Ukraine, namun apabila Ukraine meminta bantuan ketenteraan, kewangan, maka Indonesia menolak.
"Jadi, walaupun kita lihat walaupun ada negara yang cuba berpihak kepada satu-satu negara, ia sebenarnya akan memburukkan lagi keadaan.
"Sekutu utama Rusia ialah China, dan sekutu utama Ukraine ialah Amerika. Rusia, China dan Amerika adalah negara yang sangat berpengaruh dalam ekonomi dan politik dunia.
"Sebab itu mana-mana negara yang cuba berpihak kepada satu-satu negara terutama dalam beri sokongan atau sekatan, maka ia akan beri kesan lebih buruk," ujarnya lagi.