TERKINI! Ibu pejabat polis Surabaya dibom, empat individu dikhuatiri terkorban
Reuters
Mei 14, 2018 13:14 MYT
Mei 14, 2018 13:14 MYT
EMPAT pengebom bunuh diri maut di ibu pejabat di Surabaya pada Isnin.
Portal berita antarabangsa, AFP melaporkan sekitar empat individu itu maut dalam serangan yang berlaku sehari selepas siri serangan pengebom bunuh diri di beberapa buah gereja yang meragut 13 nyawa dan mencederakan puluhan yang lain.
Sebelum ini, beberapa anggota polis mengalami kecederaan selepas satu letupan melibatkan pengebom bunuh diri yang menaiki motosikal berlaku di luar sebuah bangunan polis di Surabaya pada Isnin.
Kejadian berlaku pada jam 8.50 pagi waktu tempatan, sehari selepas sekurang-kurangnya 13 terbunuh dalam letupan bunuh diri di tiga gereja di bandar itu pada Ahad.
"Jelas, ia satu kejadian letupan bunuh diri," kata jurucakap polis Jawa Timur, Frans Barung Mangera.
"Kami belum boleh memberikan semua maklumat kerana kami masih mengenalpasti mangsa di tempat kejadian dan lokasi kejadian jenayah sedang diproses," katanya.
Letupan itu berlaku di tempat pemeriksaan (checkpoint) di luar bangunan itu, katanya.
Jumlah mangsa yang tercedera masih belum dapat dipastikan.
Stesen televisyen Indonesia menyiarkan rakaman CCTV yang menunjukkan sebuah motosikal tiba di tempat pemeriksaan itu dan meletup di sebelah sebuah kereta ketika pegawai polis sedang menghampirinya.