[TERKINI] Empat anggota pengaman UNIFIL Malaysia cedera dalam serangan Israel di Lubnan
Agensi
November 7, 2024 22:17 MYT
November 7, 2024 22:17 MYT
DUBAI: Serangan Israel di bandar Sidon, Lubnan pada Khamis mengorbankan tiga orang awam warga tempatan, selain mencederakan tiga tentera negara Lubnan serta empat anggota pasukan UNIFIL dari Malaysia.
Reuters yang memetik kenyataan dari tentera Lubnan melaporkan, serangan berkenaan menyasarkan sebuah kereta sewaktu ia mendekati pos pemeriksaan, sekali gus membunuh tiga warga Lubnan yang berada di dalam kenderaan itu.
Pada masa sama, empat anggota tentera Malbatt 850-12 yang berkhidmat untuk UNIFIL itu mengalami cedera ringan akibat terkena serpihan ledakan, menurut kenyataan tersebut.
Anggota tentera Lubnan yang cedera sedang menjalankan tugas kawalan di pos pemeriksaan itu, sementara anggota UNIFIL berkenaan sedang berada dalam kenderaan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan kebetulan sedang melalui pos pemeriksaan yang sama.
UNIFIL memaklumkan, konvoi UNIFIL yang membawa anggota pengaman yang baru tiba di selatan Lubnan itu sedang melalui Saida (Sidon) apabila terjadi serangan dron di kawasan berhampiran.
"Mereka yang cedera itu sedang dirawat pasukan Palang Merah Lubnan di lokasi kejadian, dan akan meneruskan perjalanan ke penempatan pos mereka," kata UNIFIL menerusi akaun X rasmi.
Pada masa sama, UNIFIL menggesa pihak berkaitan agar menghindari tindakan yang meletakkan anggota pengaman dalam bahaya, selain mengingatkan segala perbezaan perlu diselesaikan menerusi rundingan dan bukan keganasan.