Terkejut satu kampung, warga emas pulang selepas disangka maut kemalangan
Agensi
September 25, 2022 17:24 MYT
September 25, 2022 17:24 MYT
CHENNAI: Disangka sudah meninggal dunia, sebuah perkampungan di India dikejutkan dengan kepulangan seorang wanita yang tiba-tiba muncul semula, Khamis lalu.
Wanita yang dikenali sebagai S Chandra dilaporkan berjalan kaki membawa bagasi besar menuju ke rumahnya sekali gus membuatkan penduduk kampung terpinga-pinga.
Memetik laporan The Times Of India, kejadian yang berlaku di Guduvancherry itu menarik perhatian ramai selepas wanita ini disangka maut dalam kemalangan yang berlaku di stesen kereta api.
“Ketika proses pengecaman mayat, anaknya memberitahu kain sari yang dipakai mangsa seakan sari ibunya, dia mengesahkan mangsa yang dilanggar merupakan Chandra,” kata anggota polis yang bertugas di stesen kereta api Egmore Chennai, DSP R Srikanth.
Chandra yang merupakan penduduk di Ambedkar Nagar ini tinggal bersama anak lelakinya, Vadivelu, 48, selepas kematian suaminya 10 tahun lalu. Wanita warga emas ini juga dilaporkan sering mengunjungi kuil di Hanumanthapuram di Singaperumal Koil sekitar 22 kilometer dari rumahnya.
Isnin lalu, Chandra memaklumkan ahli keluarga yang lain untuk mengunjungi kuil berkenaan namun memutuskan untuk pergi ke beberapa kuil lain selepas itu.
Kehilangannya menyebabkan Vadivelu risau yang kemudian membuat laporan polis mengenai kehilangan ibunya.
Pada Khamis petang, pihak berkuasa menerima aduan mengenai kemalangan di stesen kereta api yang melibatkan seorang warga emas.