Terjejas akibat pandemik, zoo umum jual 11 ekor gajah demi kelangsungan operasi
Agensi
Jun 6, 2021 18:31 MYT
Jun 6, 2021 18:31 MYT
CHON BURI: Pandemik COVID-19 menyaksikan banyak industri gulung tikar, dan antara yang paling teruk terjejas adalah industri pelancongan di seluruh dunia.
Santuari haiwan yang selama ini menawarkan tarikan popular, Sriracha Tiger Zoo di Chon Buri, Thailand adalah antara yang terkena tempiasnya.
Memetik laporan Bangkok Post, zoo itu terpaksa menjual 11 ekor gajahnya selepas operasinya terkesan susulan Thailand kini berdepan dengan gelombang ketiga COVID-19.
Dalam muat naik di Facebooknya, zoo tersebut menyeru orang ramai berkongsi pengumuman mereka itu dalam usaha menjual gajah-gajah tersebut.
“Mari berkongsi (hantaran ini) menyokong dan membantu kami mencari rumah baharu buat gajah-gajah ini. Sriracha Tiger Zoo sedang mencari pembeli gajah agar kami dapat meneruskan operasi kami yang terkesan akibat COVID-19.
"Kami terpaksa menjual haiwan kami walaupun kami amat menyanyangi mereka. Walaupun pahit, kita harus berpisah,” kata hantaran di laman media sosial itu,
Awal bulan ini, pemilik Sriracha Tiger Zoo menafikan dakwaan zoo itu ditutup slepas 24 tahun beroperasi.
Sebelum ini, khabar angin tersebar, zoo persendirian itu terpaksa menghentikan operasinya akibat kerana masalah kewangan.
Menerusi laman webnya, zoo berkenaan memaklumkan, ia ditutup kepada pengunjung sejak 30 April lalu.
Bagaimanapun, Pengarah Urusan Sriracha Crocodile Farm Co. memberitahu, zoo tersebut ditutup selama 14 hari sebagai sebahagian usaha untuk membendung penyebaran COVID-19 di wilayah itu yang diletakkan dibawah zon kawalan ketat.