'Terima kasih atas layanan berperikemanusiaan luar biasa Hamas' - Bekas tawanan

Astro Awani
November 28, 2023 19:04 MYT
Daniel (kanan) dan anaknya Emelia (kiri) adalah salah seorang tawanan kumpulan pertama yang dibebaskan ketika kemanusiaan selama 96 jam berkuat kuasa Jumaat lalu. - Sumber foto REUTERS
PEMBEBASAN tawanan sayap ketenteraan Hamas, Briged al-Qassam, sejak beberapa hari lalu, mendedahkan kepada dunia akhlak sebenar kumpulan pejuang Palestin itu yang cuba digambarkan sebagai kejam oleh rejim Israel selama ini.
Antara yang tampil secara terbuka menceritakan pengalaman ialah wanita Israel, Daniel Aloni, yang menulis sepucuk surat dan disiarkan oleh rangkaian media Palestin pada Isnin.
Dia menzahirkan ucapan terima kasih malah memuji kebaikan anggota kumpulan pejuang Hamas.
Surat yang ditulis dalam bahasa Hebrew itu menjelaskan, dia ditahan bersama anak perempuannya, Emelia yang berusia enam tahun.
"Anggota kumpulan pejuang al-Qassam menemani dan menjaga kami sepanjang masa. Terima kasih atas layanan berperikemanusiaan luar biasa yang ditunjukkan kepada Emelia.
"Anda melayannya seperti anak sendiri. Saya berasa seperti 'ratu' di Gaza kerana jagaan yang sangat baik," katanya.
[LAPOR LANGSUNG] Hospital Al-Shifa di Gaza dibuka kembali
Daniel dan Emelia adalah salah seorang tawanan kumpulan pertama yang dibebaskan ketika kemanusiaan selama 96 jam berkuat kuasa Jumaat lalu.
Sementara itu, seorang lagi wanita Israe berusia 85 tahun berkata: "Pejuang Hamas menyediakan semua keperluan kami dan memberikan makanan sama seperti yang dijamu mereka sendiri," katanya dilaporkan media.
Sebelum ini, ahli keluarga bekas tawanan warga Thailand, Vetoon Wichagern yang dibebaskan dalam kumpulan pertama turut berkongsi kebaikan pejuang Hamas.
"Kami terkejut kerana dia terselamat dalam peperangan itu. Ia sememangnya satu keajaiban. Vetoon tidak alami sebarang kecederaan atau diseksa. Dia diberi makan dan minum. Keadaan fizikalnya masih sama, tiada sebarang perubahan ketara," kata Roongarun.
#Perang Palestin-Israel #tawanan warga israel #Daniel Aloni #pejuang Hamas
;