Terima ancaman culik, Puteri Mahkota Belanda dititah 'dikurung' di istana
Agensi
Oktober 14, 2022 17:30 MYT
Oktober 14, 2022 17:30 MYT
MOSCOW: Puteri Mahkota Belanda, Puteri Catharina-Amalia terpaksa 'dikurung' di istana susulan ancaman penculikan, titah Raja Belanda, Raja Willem-Alexander dan Permaisuri Maxima.
Puteri berusia 18 tahun itu berpindah ke Amsterdam September lalu untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains politik, psikologi, undang-undang dan ekonomi di sebuah universiti tempatan.
Bagaimanapun, Puteri Amalia terpaksa meninggalkan kediamannya di universiti itu dan kembali ke istana diraja Huis ten Bosch di pinggir Den Haag, selepas menerima ancaman culik sejak beberapa minggu lalu, lapor Sputnik.
"Beliau (Puteri Amalia) tidak boleh meninggalkan istana. Ini akan memberi impak yang besar terhadap kehidupannya. Beliau tidak boleh tinggal di Amsterdam dan beliau tidak boleh keluar," kata pasangan diraja itu kepada pemberita pada Khamis, seperti yang dipetik oleh akhbar Belanda, NL Times.
Raja Willem-Alexander dan Permaisuri Maxima kini berada di Sweden untuk lawatan rasmi, dan tidak dapat menahan air mata ketika bercakap tentang kesukaran yang dihadapi anak perempuan mereka, lapor NL Times.
Namun di sebalik itu, terdapat juga laporan lain yang mengatakan Puteri Amalia masih meneruskan sesi pengajian di universiti, yang jaraknya lebih 50 kilometer dari istana berkenaan.