Tergamak racun suami hingga mati demi harta
Sinar Harian
April 30, 2021 07:34 MYT
April 30, 2021 07:34 MYT
TOKYO: Demi harta, seorang isteri muda tergamak meracuni suaminya yang merupakan jutawan pada tiga tahun lalu selepas tiga bulan berkahwin.
Lapor Japan Times, Saki Sudo, 25, ditahan Rabu lalu kerana didakwa membunuh suaminya, Kosuke Nozaki, 77, yang pernah menulis buku berjudul 'Don Juan of Wakayama' pada 2016 dengan membayangkan dirinya sebagai Don Juan.
Nozaki yang terkenal dengan pelbagai skandal itu bangga diri dalam penulisannya apabila menyatakan telah menghabiskan berjuta-juta dolar untuk wanita muda, malah dapat meniduri 4,000 wanita.
Dia juga menyebut tujuannya mengumpul harta menerusi bidang hartanah, pertanian dan pinjaman wang hanya mahu berjanji temu dengan wanita cantik.
Malah dia turut berkongsi bibit pertemuannya dengan Sudo di mana mereka bertemu di Lapangan Terbang Tokyo selepas wanita itu membantunya ketika jatuh.
Bagaimanapun pada petang 24 Mei 2018, Nozaki ditemui mati di rumahnya dengan polis mengesan terdapat dadah dalam badan jutawan berkenaan.
Laporan polis mengesahkan, suspek membuat penyelidikan di internet tentang bahan berkaitan racun yang boleh membawa maut.
Sebelum kematiannya, Sudo adalah orang terakhir bersama Nozaki untuk makan malam, kata polis.
Sebagai pewaris sah, Sudo berhak atas harta Nozaki dalam jumlah yang banyak.
Sudo juga sering memuat naik gambar percutian mewah dan membeli barang mewah namun tidak pernah menyatakan pekerjaannya hingga menimbulkan persoalan dalam kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan.
Berit asal: Tergamak racun suami hingga maut