Tergamak cabul lembu, warga emas diharam masuk semua ladang di Britain
Agensi
Februari 5, 2018 18:12 MYT
Februari 5, 2018 18:12 MYT
Seorang warga emas diharamkan masuk di semua ladang haiwan di Britain selepas didakwa melakukan gangguan seksual terhadap beberapa ekor lembu.
Tertuduh, John Curno, 80, disabitkan dua kali kesalahan yang sama selain mengganggu ketenteraman awam.
Menurut pemilik ladang itu Ian dan Susan Howie, Curno sering melawat ladang Park Lodge, Uxbridge di London sejak 10 tahun lalu tetapi pemilik itu tidak tahu langsung bahawa lembu mereka dicabul.
“John sering melawat ladang ini sejak 10 tahun lalu tetapi kami tidak terfikir perkara sebegini akan berlaku.
“Kami sangkakan John memang sukakan ladang ini dan juga lembu. Rupa-rupanya, dia memang ada 'hubungan sulit' dengan lembu itu,” jelas Susan.
Selain itu, John ketika ditangkap oleh pegawai polis memberitahu dia bukan seorang yang ganas cuma dia sangat suka pada haiwan.
“Saya bukan seorang yang ganas, saya cuma suka pada haiwan,” kata John.
Ketua Mahkamah Majistret Uxbridge, Michael Akers telah menunda hukuman kesalahan itu pada bulan depan dan menetapkan syarat larangan masuk di semua ladang haiwan di negara itu.
“Tertuduh didapati bersalah atas dua kali kesalahan dan perlu hadirkan diri ke mahkamah untuk perbicaraan hukuman pada tarikh yang ditetapkan nanti,” ujar Michael.