Tergamak bunuh adik dengan tukul, lelaki dijatuhi hukuman penjara 21 tahun

Faida Rahim
Oktober 19, 2022 15:51 MYT
Lelaki itu turut didapati membalut mayat adiknya dengan selimut dan meletakkan di atas katil sebelum menyembunyikan mayat dengan objek lain. - Gambar fail/Sinar Harian
SYDNEY: Tergamak membunuh adik sendiri, seorang lelaki Australia dijatuhkan hukuman penjara maksimum 21 tahun.
Memetik laporan 9News, Mahkamah Agung New South Wales hari ini menjatuhkan hukuman ke atas Lucas Christian Delaney, 33, selepas didapati bersalah membunuh adik perempuannya, Gabriella Delaney, 20, pada Jun 2020.
“Serangan disifatkan amat kejam apabila pesalah membunuh tanpa sebab dengan penukul sehingga menyebabkan kecederaan amat serius.
“Kesihatan mental bukan punca utama dalam kejadian ini sebaliknya pengambilan dadah,” kata Hakim Peter Garling.
Turut didedahkan, selepas membunuh mangsa, lelaki itu bertindak membalut mayat adiknya dengan selimut dan meletakkannya di atas katil sebelum menyembunyikan mayat dengan objek lain.
Pelaku kemudian menghabiskan masa selama empat hari di beberapa lokasi untuk menghisap ganja dan dadah lain sebelum pergi ke Hospital Cumberland untuk pemeriksaan mental.
Mayat Gabriella ditemui seorang lagi ahli keluarganya pada 8 Jun manakala Lucas kemudiannya ditahan sehari kemudian.
Mahkamah turut mendapati Lucas berdepan dengan masalah peribadi, penyalahgunaan dadah dan didiagnosis dengan penyakit skizofrenia (kecelaruan fikiran).
Lucas kemudiannya mendapat pengurangan tempoh hukuman selepas membuat pengakuan awal dan menjalani hukuman penjara selama 15 tahun sembilan bulan dan layak memohon parol pada 8 Mac 2036. -- Agensi
#bunuh adik #bunuh guna tukul #Lucas Christian Delaney #Sydney
;