Terdapat kesalahan yang jelas dalam operasi ketenteraan Israel - PBB
Astro Awani
November 9, 2023 08:40 MYT
November 9, 2023 08:40 MYT
NEW YORK: Jumlah kematian orang awam di Gaza dalam konflik perang yang berpanjangan membuktikan kesalahan sangat jelas oleh operasi ketenteraan Israel.
Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, walaupun dimulakan Hamas pada 7 Oktober, melihat kepada angka kematian orang awam di Gaza, Israel seolah-olah melakukan kesalahan jenayah yang serius dalam serangan balasnya.
"Apabila kita melihat jumlah orang awam yang terbunuh dengan operasi ketenteraan, ada sesuatu yang jelas terbukti sebagai salah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu temu bual eksklusif bersama Reuters pada Rabu.
Sehingga kini, angka kematian warga Palestin melebihi 10,000 nyawa dengan 40 peratus daripadanya adalah kanak-kanak.
Guterres juga membandingkan jumlah kanak-kanak yang terbunuh di Gaza dengan jumlah korban dalam konflik di seluruh dunia yang dilaporkannya setiap tahun.
Jelasnya lagi, sikap Israel yang berdendam untuk menghapuskan pejuang Hamas, mengepung Gaza, melancarkan operasi serangan darat seolah-olah melanggar piagam antarabangsa.
Beliau juga berkata, langkah sedemikian tidak membantu Israel untuk meraih simpati masyarakat global, sebaliknya hanya memapakarkan imej kekejaman dan tidak berperikemanusian.
Mengulas mengenai penyelesaian konflik, Guterres berkata senario terbaik adalah untuk memastikan semua pihak termasuk perwakilan Palestin dan Israel, tanpa terkecuali PBB, duduk semeja untuk memulakan proses rundingan damai.
Tambahnya, semua pihak terlibat perlu memainkan peranan dengan lebih proaktif untuk memastikan perkara ini tidak berulang dan menjerumus Palestin ke kancah krisis kemanusian yang dasyhat.