Terbukti Veronica curang, mahkamah benarkan Ahok bercerai

Sinar Harian
April 4, 2018 19:51 MYT
Antara bukti yang dikemukakan peguam Ahok adalah termasuk salinan perbualan di telefon bimbit antara Veronica dan Julianto. - Foto fail Reuters
Sebuah mahkamah di Jakarta, hari ini meluluskan permohonan cerai yang dikemukakan bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok selepas mendakwa terdapat bukti kecurangan isterinya, Veronica Tan.
Panel terdiri daripada tiga hakim itu turut memberikan hak penjagaan dua anak mereka kepada Ahok.
Hakim Sutaji berkata, mereka menerima alasan beliau untuk bercerai selepas mendakwa perkahwinan mereka berdepan masalah kerana isterinya mempunyai hubungan cinta dengan lelaki bernama Julianto Tio.
Antara bukti yang dikemukakan peguam Ahok adalah termasuk salinan perbualan di telefon bimbit antara Veronica dan Julianto.
"Perbualan menerusi aplikasi mesej yang diberikan dalam bentuk gambar itu jelas menunjukkan mereka mempunyai hubungan 'istimewa'. Kami menganggap ia sebagai bukti sah
"Veronica masih bertemu dengan Julianto walaupun telah diminta berulang kali supaya memutuskan hubungan tersebut," kata Sutaji.
Pada 8 Januari lalu, Ahok, 51, memfailkan perceraian ke atas Veronica, 40, yang dikahwininya pada 1997 dan turut dikurniakan tiga cahaya mata, Nicholas Sean, 19, Nathania Berniece, 16, dan Daud Albeenner, 11.
Bekas gabenor itu akan mendapat hak jagaan Nathania dan Daud yang dianggap masih di bawah umur di bawah undang-undang Indonesia selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara.
Sebelum ini, Ahok dihukum penjara dua tahun selepas disabit bersalah menghina agama pada Mei tahun lalu. - Agensi
#ahok #basuki tjahaja purnama #bercerai #curang #Indonesia #Jakarta #lelaki #mahkamah #perkahwinan #undang-undang
;