Terbongkar! Virus ini punca lebih 1,000 babi mati secara misteri di Bali
Agensi
Februari 5, 2020 18:47 MYT
Februari 5, 2020 18:47 MYT
Pihak berkuasa Bali akhirnya mampu menarik nafas lega selepas berjaya mengenal pasti punca kematian kira-kira 1,000 ekor babi di pulau itu sejak beberapa bulan lalu.
"Babi-babi itu mati disebabkan oleh Wabak Babi Afrika (ASF)," kata jurucakap agensi pertanian dan keselamatan makanan Bali, Ida Bagus Wisnuardhana kepada agensi berita Jakarta Post seperti yang dilaporkan hari ini.
Kata Ida, pihaknya percaya telah berjaya mengawal penyebaran penyakit tersebut selepas tiada lagi kematian babi dilaporkan sejak beberapa hari lalu.
"Kesemua babi yang mati disebabkan ASF. Kami telah menjalankan ujian terhadap sampel darah yang diambil pada bangkai-bangkai haiwan ini.
"Ujian tersebut dilakukan di makmal veterinar di Medan, Sumatera Utara kerana peralatan-peralatan ujian itu tiada di Bali," katanya lagi.
Pada tahun lalu, Sumatera Utara pernah menjalankan ujian yang sama selepas 50,000 ekor babi mati di seluruh wilayah terbabit.
Mengikut Organisasi Kesihatan Haiwan Dunia (OIE), ASF berpunca daripada virus Data Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang besar daripada keluarga Asfarviridae.
Sekurang-kurangnya 888 ekor babi mati akibat ASF dalam tempoh dua bulan dan Kabupaten Badung mencatatkan jumlah tertinggi kematian iaitu 598 ekor, diikuti Tabanan (219 ekor), Denpasar (45 ekor), dan masing-masing seekor di Gianyar, Bangli serta Karangasem.
ASF bagaimanapun tidak membahayakan kesihatan manusia kerana penyakit tersebut boleh dijangkiti secara langsung dan tidak langsung daripada babi seperti pembuangan bahan tercemar.