Terbang dari New York ke London hanya 90 minit dengan pesawat supersonik NASA
Agensi
Ogos 26, 2023 08:00 MYT
Ogos 26, 2023 08:00 MYT
SEJAK penamatan pesawat penumpang supersonik, Concorde pada tahun 2003, penerbangan pantas merentasi Atlantik semakin dilupakan dan berlalu.
Penerbangan antara London dan New York mengambil masa kira-kira lapan jam atau lebih dekat dengan tujuh jam jika ke arah lain.
Rekod itu kini berada di bawah lima jam dari New York ke London didorong oleh aliran jet yang menggalakkan.
Namun kini, perjalanan supersonik telah dicetuskan lagi oleh Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) yang menganggap penerbangan New York-London boleh mengambil masa sekurang-kurangnya 90 minit pada masa hadapan.
Portal berita CNN melaporkan, agensi angkasa lepas itu telah mengesahkan sedang mengkaji sama ada penerbangan komersil sehingga lebih 3,000 batu sejam atau 4,828 kilometer sejam boleh dilaksanakan pada masa hadapan.
Kajian oleh Pusat Penyelidikan Glenn NASA mencadangkan bahawa sudah ada "pasaran penumpang yang berpotensi dalam kira-kira 50 laluan yang ditetapkan."
Laluan ini terhad kepada laluan rentas lautan, termasuk merentasi Atlantik Utara dan Pasifik kerana negara termasuk Amerika Syarikat mengharamkan penerbangan supersonik darat.
NASA difahamkan sedang membangunkan pesawat supersonik yang dipanggil X-59s sebagai sebahagian daripada misinya.
Agensi itu berharap pesawat baharu itu akhirnya boleh mendorong pengubahsuaian peraturan ini dengan pesawat terbang antara 1,535 hingga 3,045 batu sejam, lapor CNN lagi.
Sebuah pesawat yang bergerak dalam kelajuan itu berpotensi membuat lintasan transatlantik dalam masa 90 minit.
Kelajuan maksimum Concorde ialah 1,354 batu sejam.
Berikutan kajian itu, Program Kenderaan Udara Lanjutan (AAV) NASA kini akan beralih ke fasa penyelidikan seterusnya untuk perjalanan berkelajuan tinggi.
Ini akan membangunkan reka bentuk dan meneroka kemungkinan perjalanan udara, menggariskan risiko dan cabaran dan mengenal pasti teknologi yang diperlukan untuk membuat ia menjadi realiti.
Terdapat dua pasukan yang bekerja pada penyelidikan tersebut, satu diketuai oleh Boeing dan satu lagi oleh Northrop Grumman Aeronautics Systems.
Masing-masing akan menghasilkan reka bentuk untuk pesawat yang mampu mengekalkan kelajuan supersonik tinggi.
PERGERAKAN MASA DEPAN
Menurut Pengurus Projek Teknologi Supersonik Komersial NASA, Lori Ozoroski, kajian yang dilakukan sekarang telah dijalankan sedekad lalu untuk membentuk pembangunan pesawat X-59.
Dengan cara yang sama, tambahnya, kajian baharu itu akan "menyegarkan pandangan pada peta jalan teknologi dan mengenal pasti keperluan penyelidikan tambahan untuk julat kelajuan tinggi yang lebih luas."
Sementara itu, Pengurus Projek Teknologi Hipersonik NASA, Mary Jo Long-Davis berkata, fasa seterusnya juga akan mempertimbangkan "keselamatan, kecekapan, pertimbangan ekonomi dan kemasyarakatan.
Pada bulan Julai, Lockheed Martin telah menyelesaikan pembinaan pesawat ujian X-59 NASA yang direka untuk mengubah ledakan sonik menjadi dentuman semata-mata.
Ini dengan harapan menjadikan penerbangan supersonik darat adalah satu kemungkinan.
Ujian darat dan penerbangan ujian pertama dirancang untuk akhir tahun ini.
NASA menyasarkan untuk mempunyai data yang mencukupi untuk diserahkan kepada pengawal selia Amerika Syarikat pada 2027.