Teori konspirasi 'Penyakit X'
Sinar Harian
Mac 5, 2024 16:45 MYT
Mac 5, 2024 16:45 MYT
WASHINGTON: Ahli teori konspirasi Amerika Syarikat (AS) sekali lagi membuat 'keuntungan' selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tentang wabak lebih berbahaya iaitu 'Penyakit X'.
Pemeriksaan fakta sebuah agensi berita dilakukan mendapati pembohongan termasuk dakwaan golongan elitis kononnya patogen tidak diketahui itu boleh menghapuskan populasi dunia nampaknya berasal dari Washington sebelum disebarkan ke rantau Asia dalam pelbagai bahasa.
Penyebaran maklumat salah yang berlaku pada kadar agak pantas itu turut mencetuskan keraguan terhadap keberkesanan vaksin selain menjejaskan persediaan untuk kecemasan kesihatan awam kira-kira empat tahun selepas pandemik COVID-19 melanda dunia.
Pempengaruh sayap kanan di AS juga mengambil peluang untuk menakut-nakutkan orang ramai ramai dengan menjaja kit perubatan yang menurut pakar kesihatan sebagai rawatan Covid-19 yang tidak terbukti berkesan.
“Penyebar maklumat salah cuba mengeksploitasi teori konspirasi untuk menjual produk mereka. Hal ini kerana ia merupakan pendapatan utama mereka,” ujar Timothy Caulfield di University of Alberta di Kanada.
Teori konspirasi mula tersebar selepas Forum Ekonomi Dunia yang disebut sebagai 'magnet untuk maklumat salah' ketika panel 'Persediaan bagi Penyakit X' bersidang pada Januari lalu bagi memfokuskan ancaman pandemik masa hadapan.
'SENJATA GENOSID'
APengasas laman InfoWars, Alex Jones yang telah menyebarkan jutaan teori konspirasi tentang insiden serangan tembakan ganas dan Covid-19 sekali lagi membuat dakwaan palsu di media sosial dengan mendedahkan rancangan globalis untuk menggunakan Penyakit X sebagai 'senjata genosid'.
Ketika teori konspirasi itu mula tersebar di China, terdapat catatan di platform X yang mendakwa pemerintah di Beijing mula melancarkan tempat pembakaran mayat mudah alih kononnya sebagai persediaan menghadapi kematian secara beramai-ramai.
Tetapi, hasil siasatan pemeriksa fakta agensi terbabit menggunakan carian imej mendapati video itu sebenarnya perkhidmatan pembakaran untuk haiwan peliharaan yang sudah mati.
Pada Oktober lalu, pasukan penyiasat sama juga menemui perkongsian di media sosial di Malaysia tentang jururawat terpaksa mengambil vaksin yang tidak wujud untuk Penyakit X.
Ahli kardiologi AS, Peter McCullough yang terkenal dengan penyebaran maklumat salah Covid-19 menyatakan tanpa bukti kukuh kononnya Penyakit X akan dihasilkan di makmal bio.
Dakwaan itu dibuat menerusi laman web syarikat pembekal suplemen, The Wellness Company berpusat di Washington di mana beliau turut berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Saintifik.
Ia menggesa orang ramai supaya bersedia menghadapi Penyakit X malah laman tersebut turut menawarkan kit kecemasan perubatan dengan harga kira-kira AS$300 (kira-kira RM1,418) yang mengandungi ubat termasuk ivermectin yang tidak dibuktikan sebagai rawatan efektif untuk COVID-19.
Laman sayap kanan yang terkenal dengan teori konspirasi, The Gateway Pundit juga mempromosikan kit dalam mesej tajaan, 'Penyakit X, Adakah globalis merancang satu lagi pandemik?'
“Usah terlambat buat persediaan awal lagi,” jelas mesej itu lagi yang kemudiannya membawa pembaca kepada pautan untuk menempah kit tersebut.
RAGU-RAGU TERHADAP VAKSIN
Naib Presiden badan pemerhati berhaluan kiri, Media Matters, Julie Millican berkata, penyebaran teori konspirasi untuk menjana wang merupakan masalah yang telah sekian lama wujud.
“Pihak berkenaan sememangnya cuba mengambil kesempatan daripada pengikut mereka yang terlalu taasub dengan teori konspirasi,” jelasnya.
Teori konspirasi muncul di tengah-tengah keraguan orang ramai terhadap keberkesanan vaksin semakin meningkat.
“Sejak pandemik Covid-19, kita telah melihat penurunan sokongan vaksin untuk kanak-kanak dan penolakan kebanyakan ibu bapa,” jelas ahli sosiologi di University of Colorado Denver, Jennifer Reich.
Beberapa pengikut teori konspirasi Penyakit X berikrar untuk menolak pemberian vaksin pada masa akan datang yang dikhuatiri menjejaskan tindak balas kepada kecemasan kesihatan.
“Ia berpotensi mewujudkan kelompok yang mengambil keputusan salah jika wabak sebenar berlaku,” menurut Profesor Chunhue Chi di Oregon State University.
Malah, beliau berkata, ia berisiko menjadi penghalang utama kepada masyarakat untuk menjadi lebih proaktif dari segi pencegahan penyakit berjangkit yang mungkin muncul. -- Agensi
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian