Tentera Zionis masuk Gaza sebelum berundur semula ke Israel
Astro Awani
Oktober 29, 2023 06:15 MYT
Oktober 29, 2023 06:15 MYT
GAZA: Tentera darat Israel mendakwa berada di Gaza selepas memasuki kawasan itu pada Sabtu.
Bagaimanapun, tentera Israel dilaporkan keluar dari wilayah itu selepas beberapa jam dan tidak menembusi ke bahagian tengah Gaza.
Antara lain, tentera Ssrael mendakwa ia masuk ke Semenanjung Gaza dan meluaskan operasi darat di mana infantri, perisai dan unit jurutera serta artileri dengan tembakan berat mengambil bahagian.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Laksamana Muda Daniel Hagari, tanpa memberikan butiran lanjut berkata, pasukan tentera Israel berada di lapangan dan meneruskan pertempuran.
Kenyataan itu mengesahkan operasi ketenteraan mengalami perkembangan yang ketara selepas apa yang sebelum ini disifatkan sebagai dua serbuan bersasar pada Rabu dan Khamis malam.
Namun kedua-dua serbuan itu menyaksikan tentera darat berundur selepas beberapa jam.
Laporan CNN sebelum ini menyebut, sehingga kini tidak kelihatan sebarang serangan darat utama yang bertujuan untuk merampas wilayah Gaza.
Dalam seruan baharu agar rakyat Gaza bergerak ke selatan, IDF hanya mengumumkan mengenai operasi yang akan berlaku.
IDF turut mendakwa menyerang 450 sasaran tentera milik Hamas di Semenanjung Gaza menggunakan pesawat perang sejak beberapa hari lalu.
Dalam siaran di laman X, IDF berkata, sasaran termasuk ibu pejabat tentera, pos pemerhatian, dan kedudukan penembakan antikereta kebal, dan mendakwa tentera daratnya turut terlibat dalam pertempuran itu,
Akaun telegram Briged Izzedine al-Qassam turut melaporkan pertempuran bersenjata dengan tentera dan kenderaan Israel di barat laut wilayah itu.