Tentera Wagner ditawar terus berperang di Ukraine
Bernama
Julai 14, 2023 15:11 MYT
Julai 14, 2023 15:11 MYT
MOSCOW: Presiden Vladimir Putin berkata anggota syarikat tentera swasta Rusia, Wagner, boleh terus bertempur di Ukraine di bawah pemerintahan sendiri walaupun pernah melakukan pemberontakan terhadap kepimpinan Moscow, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
"Ramai anggota yang bersetuju apabila saya berkata demikian," kata Putin kepada akhbar Kommersant edisi Jumaat mengenai pertemuannya dengan pasukan yang diketuai Yevgeny Prigozhin, di Kremlin baru-baru ini.
Tetapi Prigozhin menolak tawaran itu, kata Putin.
Askar upahan itu yang bertempur bersama Tentera Rusia selama berbulan-bulan dalam pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, mendapat perhatian terutama semasa pertempuran sengit di sekitar bandar timur Bakhmut.
Bagaimanapun, pada akhir Jun, selepas tentera Rusia didakwa menyerang kem Wagner, Prigozhin telah menduduki bandar Rostov-on-Don Rusia dan membawa pasukan tenteranya berarak ke arah Moscow.
Kemudian, Prigozhin mengarahkan pengunduran selepas berunding dengan Kremlin hasil bantuan Presiden Belarus Alexander Lukashenko yang bertindak selaku orang tengah.
Ketika itu, Putin menyifatkan pemberontakan berkenaan sebagai "pengkhianatan".
Kedudukan pasukan Wagner yang berperang di Ukraine belum diketahui setakat ini.
Putin juga secara tidak langsung mengakui bahawa kepimpinan Rusia turut bergantung pada organisasi ketenteraan swasta yang beroperasi di luar skop undang-undang Rusia.
"Kami tidak mempunyai undang-undang mengenai organisasi tentera swasta... Kumpulan itu wujud, tetapi tidak sah," kata pemimpin Kremlin itu.
-- BERNAMA