Tentera Ukraine musnahkan jambatan strategik Rusia

Astro Awani
Ogos 19, 2024 08:45 MYT
Tentera udara Ukraine memusnahkan satu lagi jambatan strategik di atas Sungai Seym di wilayah Kursk, Rusia pada Ahad. - Foto REUTERS
KURSK: Tentera udara Ukraine memusnahkan satu lagi jambatan strategik di atas Sungai Seym di wilayah Kursk, Rusia pada Ahad.
Komander Ukraine, Mykola Oleshchuk memaklumkan menerusi aplikasi Telegram, serangan telah menghadkan kapasiti bekalan tentera Rusia.
Dalam satu hantaran di Telegram, Oleshchuk memberitahu pihaknya terus melemahkan keupayaan logistik musuh dengan serangan udara yang memberi kesan ketara kepada perjalanan pihak lawan.
Beliau menyiarkan video yang menunjukkan asap tebal akibat letupan di jambatan dan salah satu bahagiannya musnah.
Reuters dapat mengesahkan lokasi daripada reka bentuk jambatan, pokok, susun atur rupa bumi dan bangunan yang sepadan dengan imej satelit dan fail kawasan itu.
Kyiv berkata pihaknya berjaya merampas lebih daripada 80 penempatan lebih 1,150 km persegi (444 batu persegi) di Kursk sejak melancarkan serangan mengejut merentasi sempadan pada 6 Ogos lalu.
Sementara itu, jambatan itu menjadi sasaran kedua serangan tentera Ukraine sejak Jumaat lalu.
#Rusia #Ukraine #letupan #jambatan strategik