Tentera Udara Indonesia guna jet pejuang kejut orang ramai bangun sahur
Agensi
Mei 12, 2019 13:00 MYT
Mei 12, 2019 13:00 MYT
Tentera Udara Indonesia mengumumkan akan mengambil bahagian dalam tradisi mengejutkan masyarakat bangun sahur pada bulan Ramadan.
Namun, berbeza dengan cara lain yang pernah kita dengar, kali ini, pesawat pejuang akan digunakan.
Menerusi maklumat di akaun Twitter @_TNIAU, latihan jet pejuang akan dilakukan di beberapa bandar di Pulau Jawa, iaitu Surabaya di Jawa Timur, Surakarta, Klaten dan Sragen di Jawa Tengah dan Yogyakarta.
"Kami akan turut serta dalam tradisi membangunkan orang ramai untuk sahur menggunakan pesawat pejuang," tweet itu menyebut.
Jurucakap Tentera Udara, Kol. M. Yuris berkata misi itu bukan semata-mata untuk mengekalkan tradisi, tetapi untuk memastikan bahawa anggota mereka tetap membuat latihan pada bulan Ramadan.
"Juruterbang pesawat pejuang tidak disyorkan untuk mengendalikan pesawat ketika mereka berada dalam keadaan paras gula darah yang rendah," kata M. Yuris seperti yang dilaporkan portal Kompas.
Menurut kajian, paras gula dalam badan mereka yang berpuasa akan mula menurun bermula jam 10 pagi.
Beliau menambah bahawa ia adalah satu 'misi gabungan', iaitu membangunkan orang ramai untuk bersahur dan dalam masa yang sama mengadakan latihan.
Semasa waktu sahur, pesawat pejuang akan terbang rendah dan juruterbang akan dikehendaki menggunakan afterburner, yang akan menghasilkan bunyi bising.